Skip to main content

Bola Sepak

Bonucci: Juventus adalah kampung halaman saya

bonucci.jpg
Leonardo Bonucci percaya dia telah pulang ke kampung halamannya selepas kembali menyertai Juventus, setahun setelah pemergiannya ke AC Milan.

Pertahanan tengah Itali itu memuktamadkan kepulangannya ke Turin dalam perjanjian yang menyaksikan Mattia Caldara berpindah ke San Siro sebagai pertukaran. 

Gonzalo Higuain turut menyertai Milan dari Juve menerusi perjanjian pinjaman semusim dengan pilihan untuk mengekalkannya. 

Penghijrahan penyerang Argentina itu secara tidak langsung menenggelamkan perkembangan terkini Bonucci sebagai tajuk utama.

Sesetengah penyokong, bagaimanapun, masih enggan memaaf dan melupakan pembelotan pemain berusia 31 tahun itu yang memilih menyertai Rossoneri dengan mengejeknya ketika tiba di ibu pejabat Juventus.

Namun, perasaannya terhadap kelab itu di mana dia pernah memenangi enam Scudetto berturut-turut masih utuh. 

"Sukar untuk membayangkan bahawa ini akan berlaku tetapi ia perasaan yang hebat," katanya kepada saluran rasmi YouTube Juventus.

"Saya gembira kerana Turin adalah kampung halaman saya dan Juventus adalah rumah saya, jadi saya sangat gembira untuk kembali."

Juve akan memulakan kempen memburu gelaran Serie A kelapan berturut-turut menentang Chievo pada 18 Ogos ini sementara Higuain, Caldara dan rakan sepasukan barunya di Milan akan menjadi tuan rumah kepada Genoa, sehari kemudian.
 

Advertisement

Must Watch Video