Skip to main content

Bola Sepak

Bola sepak wanita: Rancang tambah jumlah perlawanan persahabatan

bolasepak-wanita-250517.jpg
Skuad bola sepak wanita negara merancang untuk menambah beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan lebih kuat sebelum menghadapi Sukan SEA, 19-30 Ogos ini.

Pengendalinya, Mohd Asyraaf Fong Abdullah, berkata sesi latihan akan diteruskan, termasuk ketika bulan puasa, dengan aksi persahabatan dijangka diadakan pada Julai ini.

"Kami mungkin merancang satu atau dua lagi perlawanan persahabatan antarabangsa, antara yang tersenarai adalah skuad India yang juga juara kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF), baru-baru ini.

"Selain itu, kami juga mungkin menentang Jepun. Kami mahu bertemu dengan pasukan lebih kuat kerana lawan kami nanti (dalam Sukan SEA) ialah Thailand, Vietnam dan Myanmar yang kami tidak boleh nafikan kekuatan mereka," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas aksi persahabatan bertemu Nepal di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu yang menyaksikan pasukan negara menang selesa 4-1.

Asyraaf juga merancang untuk mengadakan satu lagi perlawanan pemanas badan pada Ogos sebelum temasya itu bermula.

"Dengan perlawanan persahabatan bertemu pasukan lebih kuat, sekurang-kurangnya persediaan kami mantap dan pemain bersedia daripada segi psikologi," tambahnya.

Sementara itu, Asyraaf berkata beberapa pemain akan dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan berikutan peraturan baharu yang membolehkan setiap pasukan dalam Sukan SEA nanti mendaftar seramai 30 pemain.

"Buat masa ini, kami telah mendaftarkan 25 pemain, termasuk sembilan yang dipanggil baru-baru ini, dan kami akan memanggil beberapa lagi bagi melengkapkan kuota 30 pemain yang boleh didaftarkan."

Advertisement

Must Watch Video