PIALA DUNIA
Bisa Suarez ditagih hadapi Arab Saudi
Luis Suarez bersedia untuk penampilannya yang ke-100 bersama Uruguay sambil mahu menjadikan Arab Saudi sebagai mangsa ekoran aksi goyah dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia Russia, Jumaat lalu.
Suarez dibuang padang semasa menafikan gol Ghana dalam suku akhir edisi 2010 di Afrika Selatan, sekali gus menyaksikan penyerang berkenaan digantung perlawanan ketika La Celeste tewas 2-3 kepada Belanda, seterusnya terlepas perebutan slot ke final.
Di Brazil empat tahun lalu, dia dikenakan larangan daripada terbabit dalam semua aktiviti bola sepak selama empat bulan selain digantung sembilan perlawanan antarabangsa susulan insiden menggigit Giorgio Chiellini di peringkat kumpulan, lalu rakan sepasukannya ditundukkan Colombia dalam pusingan 16.
Iklan
Insiden itu, bagaimanapun, tidak menghalangnya untuk berhijrah dari Liverpool ke Barcelona, di mana prestasi pemain berusia 31 tahun itu semakin berkembang.
Sehubungan itu, dia tiba di Russia dalam prestasi terbaiknya serta mungkin menjadi peluang terakhir untuk bekas penyerang Ajax itu dan beberapa rakan sepasukannya yang berpengalaman, termasuk Edinson Cavani dari Paris Saint-Germain (PSG) dan Diego Godin (Atletico Madrid) untuk mencipta impak di peringkat terbesar bola sepak.
Lawan mereka di Rostov pada Rabu ini, Arab Saudi, dibelasah tuan rumah, Russia, 5-0 dalam aksi pembuka tirai di Moscow, Khamis lalu.
Uruguay pula kurang bermaya dalam perlawanan sulung sehingga memerlukan gol Jose Gimenez pada minit ke-89 untuk memungut tiga mata ke atas Mesir, yang tidak mengambil risiko menurunkan Mohamed Salah.
Guillermo Varela adalah antara tonggak Uruguay paling konsisten dalam kemenangan tipis di Ekaterinburg, oleh itu pertahanan kanan Penarol berkenaan tidak khuatir dengan aksi hambar yang dipamerkan Suarez.
"Saya melihat Luis beraksi baik menerusi keinginan dan semangatnya," katanya.
"Walaupun dia tidak dapat memanfaatkan (peluangnya ketika menentang Mesir), rakan sepasukan yang lain mampu melaksanakannya.
"Dalam kes ini, Josema (Jose Gimenez) adalah pemainnya, namun Luis merupakan pemain yang hebat."
Bekas bintang Arab Saudi, Nawaf Al-Temyat, antara yang kecewa dengan aksi longlai yang dipamerkan pasukannya ketika berdepan Russia di Moscow, persembahan yang mengakibatkan jurulatih, Juan Antonio Pizzi, mempertimbangkan masa depannya selepas hanya satu perlawanan kompetitif.
"Kami membenarkan mereka bermain dengan corak permainan mereka yang berbeza dengan kami," kata Al-Temyat dalam satu wawancara yang diterbitkan oleh Persekutuan Bolasepak Arab Saudi.
"Kami tidak sepatutnya melupakan kepahitan ini tetapi ia harus ditangani dengan cara betul yang mencerminkan pemain, kakitangan pentadbiran dan pasukan kebangsaan," ujarnya.
PEMAIN TUMPUAN
Uruguay: Luis Suarez
Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez, dilaporkan akan mempertaruhkan Carlos Sanchez dan Cristian Rodriguez berbanding Nahitan Nandez dan Giorgian De Arrascaeta dalam usaha membantu Suarez menghasilkan aksi terbaik melawan Arab Saudi, yang boleh dijadikan medan terbaik untuk mengembalikan sentuhan berbisanya.
Arab Saudi: Osama Hawsawi
Kapten Arab Saudi, Hawsawi -- merangkap pertahanan tengah Al-Hilal berusia 34 tahun -- yang bergelut untuk menangani rentak dan asakan Russia minggu lalu, bakal menghadapi tugas lebih getir di Arena Rostov.
Kecuali Arab Saudi meningkatkan permainan individu dan secara keseluruhannya, mereka akan berdepan satu lagi episod kekalahan.
Must-Watch Video



