Skip to main content

Bola Sepak

Biglia idam kontrak baru di AC Milan

biglia.jpg
Lucas Biglia tidak sabar-sabar untuk mengadakan rundingan baru dengan AC Milan selepas mengakui akhirnya berasa selesa di San Siro.

Kontrak pemain tengah itu masih berbaki dua tahun lagi setelah perpindahannya bernilai €17 juta (RM81.9j) daripada Lazio pada Julai lalu.

Biglia telah mengukuhkan kedudukan sebagai sebahagian daripada perancangan utama Gennaro Gattuso setelah bergelut di bawah Vincenzo Montella musim lalu.

Kini, pemain Argentina itu berharap dapat memuktamadkan masa depannya bersama kelab.

"Saya ingin memperbaharui perjanjian, saya berasa bagus," kata Biglia, yang akan mencecah usia 33 tahun pada Januari nanti kepada Sky Sport Italia.

"Saya telah menyesuaikan diri selepas tahun yang sukar, saya juga berasa baik dengan rakan sepasukan yang menaruh kepercayaan terhadap saya. 

"Hubungan dengan jurulatih di tahap terbaik, saya melaksanakan apa yang dituntutnya daripada saya dan pasukan."

Biglia berasakan kecergasannya semakin pulih sepenuhnya ekoran kecederaan belakang yang dideritainya akhir musim lalu.

"Saya tidak berada di tahap 100 peratus, saya perlukan aksi," katanya kepada pemberita. "Biar saya teruskan bermain dan anda akan melihat aksi terbaik Biglia. Saya bekerja keras untuk mencapai tahap terbaik secepat mungkin."

Biglia turut berharap rakan sepasukan, Gonzalo Higuain, menamatkan kemarau golnya di Milan ketika berdepan Cagliari, Ahad ini. 

"Kami mahu Higuain menjaringkan gol, itulah perkara paling penting buat seorang penyerang," katanya.

"Dia memberikan bantuan gol sempurna kepada Patrick Cutrone (ketika menentang Roma) yang akan menimba banyak pengalaman daripadanya."

Advertisement

Must Watch Video