BUNDESLIGA
Biar jasa jadi kenangan, pesan Ribery buat Lewandowski
Bekas bintang Bayern Munich, Franck Ribery, melontarkan amaran kepada juara Bundesliga itu supaya tidak mengekalkan penyerang, Robert Lewandowski, di kelab itu sekiranya ia di luar kehendaknya.
Lewandowski baru-baru ini menjelaskan tiada syarat baru yang dicadangkan dalam kontraknya yang akan tamat pada penghujung musim ini.
Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Bayern, Oliver Kahn, bahawa tawaran konkrit sudah diberikan sementara Pengarah Sukan, Hasan Salihamidzic, menuduh ejen pemain itu, Pini Zahavi, cuba mengubah pendirian penggempur tersebut.
Iklan
Zahavi membalas kenyataan Salihamidzic itu sambil memberi amaran kepada Bayern bahawa adalah tidak masuk akal untuk mengambil risiko kehilangan Lewandowski secara percuma mahupun menafikan peluangnya menyertai Barcelona.
Ribery, yang membentuk gandingan di samping Lewandowski di antara 2014 dan 2019 bersetuju dengan sentimen itu, tetapi masih menaruh harapan pemain berusia 33 tahun terbabit dapat meninggalkan kelab berkenaan secara baik.
"Memang ada risiko sedemikian (buat Bayern)," katanya kepada Wirtualna Polska.
“Seorang pemain bola sepak yang terpaksa kekal boleh berasa kecewa dan marah.
"Bagaimanapun, saya berharap mereka dapat mencari jalan penyelesaian yang boleh menggembirakan semua pihak. Saya juga memahami kedudukan kelab kerana adalah sukar untuk mencari pengganti Lewandowski.
"Kami bercakap tentang seorang penyerang terbaik di dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Tiada siapa yang sedia menjual pemain sedemikian dengan rela.
"Tetapi Lewandowski mahu berubah angin; dia sedang mencari semangat baru, dia perlukan cabaran baru. Ia bukan mudah. Semoga ada penyelesaian yang baik buat semua pihak.
"Jika Robert pergi, tiada siapa yang akan dapat memadamkan apa yang telah dicatat bersama Bayern. Tetapi saya juga mahu dia pergi dengan bergaya."
Must-Watch Video