Skip to main content

Bola Sepak

Bernat lanjutkan kontrak selama empat tahun di PSG

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

juan-bernat.jpg
Juan Bernat menandatangani kontrak baru selama empat tahun dengan Paris Saint-Germain (PSG).

Pertahanan kiri itu pada awalnya akan menamatkan musim ketiganya di PSG selepas menyertai pasukan itu daripada Bayern Munich pada 2018.

Kontrak asal Bernat, 28, akan tamat pada penghujung musim 2020-21 tetapi dia kini akan terikat dengan PSG sehingga 2025.

Dia juga tidak pernah beraksi sejak September lalu berikutan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

Terdahulu, Pengarah Kesukanan PSG, Leonardo, mendedahkan bahawa pihaknya menyasarkan untuk memperbaharui kontrak empat pemain utama pasukan juara Perancis itu -- Angel Di Maria, Bernat, Neymar dan Kylian Mbappe.

Di Maria dan Bernat sudah melanjutkan kontrak mereka dan ia bermakna, tumpuan kini terarah untuk mengekalkan dua penyerang bintang itu di samping spekulasi bahawa kelab itu sedang memburu Lionel Messi, yang kontraknya bersama Barcelona akan tamat pada penghujung musim ini.

"Saya amat gembira untuk dapat memanjangkan kontrak saya dengan Paris, Saya sentiasa katakan bahawa saya berasa baik untuk berada di sini," kata Bernat selepas kontrak barunya diumumkan semalam.

"Ia mengenai segala-galanya, ia tentang kelab ini, ia tentang rasa kasih yang semua orang tunjukkan kepada saya di sini, penyokong kami, rakan sepasukan saya.

"Terdapat projek yang menarik di sini dan saya amat gembira untuk menjadi sebahagian daripadanya.

"Saya fikir kami mampu mencapai sesuatu yang hebat di sini, itulah salah satu sebab saya mahu meneruskan waktu saya di sini bersama kelab ini dan saya harap dapat bermain untuk beberapa tahun lagi," katanya.
 
Bernat berharap dia dapat kembali beraksi sebelum penghujung musim ini dengan PSG kini ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Ligue 1, Lille, dan layak ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Produk Akademi Valencia itu menambah: "Liga amat sengit tahun ini, kami hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu dan saya harap kami dapat mengejar kedudukan itu.

"Saya juga berharap dapat beraksi pada perlawanan terakhir dan membantu pasukan ini.

"Buat masa ini, kami hanya boleh berfikir mengenai berusaha keras dan memenangi setiap perlawanan," katanya lagi.

 

Advertisement

Must Watch Video