Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Bernardo Silva terbaik dalam Liga Perdana -- Guardiola

bernardo-silva-cropped_k280yr6bfvtf1p91k2kms4583.jpg
Pep Guardiola memuji pengaruh yang dibawa oleh pemain tengah menyerang Manchester City, Bernardo Silva, sambil menyifatkannya sebagai pemain terbaik dalam Liga Perdana Inggeris.

Penggempur City, Raheem Stering, menerima Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Penulis-Penulis Bolasepak (FWA), sambil pemain Liverpool, Virgil Van Dijk, mengaut Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA).

Silva dicalonkan untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan Liga Perdana dan Guardiola percaya dia layak menerimanya.

"Dia adalah yang terbaik (musim ini), bukan sekadar dalam pasukan kami," katanya kepada barisan wartawan.

"Silva boleh beraksi dengan baik di mana sahaja. Berikan saya sebuah pasukan dan dia boleh bermain dengan baik di sana. Dia melakukan segalanya dengan bola."

Apabila ditanya sama ada Silva mampu meningkatkan taraf mana-mana pasukan dalam dunia bola sepak, Guardiola menjawab: "Setakat ini."

City akan mengesahkan kejuaraan liga kedua berturut-turut malam esok menerusi kemenangan ke atas Brighton and Hove Albion tetapi bekas pengendali Barcelona itu berasa pasukan bimbingannya itu boleh berbangga tidak kira bagaimana penamat yang akan diraih.

"Kami menjalankan tugas dengan cemerlang sepanjang musim dan dalam dua aksi terakhir, kami memiliki dua trofi," tambahnya.

"Jika ia berlaku, pastinya bagus tetapi tiada apa yang akan berubah."

Minggu ini menyaksikan Tottenham Hotspur dan Liverpool memastikan pertemuan wakil England dalam final Liga Juara-Juara Eropah serta Chelsea dan Arsenal bertemu di pentas akhir Liga Europa.

Situasi itu membuatkan Guardiola teruja dengan pencapaian seterunya itu.

"Ia adalah dua aksi separuh akhir yang hebat dan buat kami, kemenangan ke atas Leicester adalah yang penting," tambah Guardiola.

"Untuk bola sepak England, ia bagus. England melangkah ke separuh akhir Piala Dunia, memenangi kategori B-20 dan B-17, kemudian empat pasukan dalam final Liga Juara-Juara serta Liga Europa. Tahniah buat mereka dan ia bagus buat bola sepak kami."
 

Advertisement

Must Watch Video