PIALA MALAYSIA
Berdepan TFC ibarat final buat Daniel
Pemain tengah Felda United, Daniel Amier Norhisham, menganggap pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC (TFC) ibarat aksi 'final' untuk memastikan kemaraan pasukan ke separuh akhir.
Felda kini ketinggalan 1-2 susulan kekalahan di Jengka minggu lalu dan untuk aksi di Kuala Terengganu, The Fighters tanpa tonggak utama, Thiago Augusto Fernandes, serta dua pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Christie Jayaseelan, ekoran kecederaan.
Mahu memastikan impian untuk meneruskan cabaran dalam Piala Malaysia tidak berakhir, Daniel berharap Felda dapat memburu gol awal dan memberi tekanan ke atas TFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.
Iklan
"Bagi saya, peluang masih terbuka dan pemain-pemain telah menerima arahan daripada jurulatih dan kapten pasukan, Shukor Adan. Kami mampu mengatasi TFC kerana kami meletakkan kepercayaan kepada kualiti pasukan," katanya.
Selepas tampil dalam kesebelasan utama di Jengka, Daniel sekali lagi diberikan kepercayaan untuk diturunkan dan dia berhasrat untuk tidak melepaskan peluang ini untuk memahat kejayaan buat The Fighters.
"Saya akan cuba mempamerkan aksi terbaik selepas menerima kepercayaan jurulatih untuk menghadapi perlawanan ini. Seperti apa yang dikatakan oleh Shukor, perlawanan masih berbaki 90 minit dan Felda mampu mencipta kemenangan."
Must-Watch Video