Skip to main content

Bola Sepak

Benzema sudah biasa dengan khabar angin -- Zidane

benzema.jpg
LEGANES 1 REAL MADRID 1

Zinedine Zidane tidak percaya Karim Benzema terkesan dengan khabar angin yang mendakwa Real Madrid sedang mencari penggantinya musim depan.


Benzema menjaringkan gol kelimanya dalam LaLiga musim ini -- 18 secara keseluruhan -- bagi mengikat Leganes 1-1 di Stadium Municipal de Butarque, awal pagi tadi.

Pemain Perancis itu telah menjaringkan lima gol terakhir Madrid, namun media melaporkan pasukan itu sedang berusaha untuk mendatangkan penyerang baru bagi menghadapi musim depan.

Zidane, bagaimanapun, menegaskan dia amat gembira dengan prestasi pemain dari negaranya itu sepanjang musim ini.

"Dia beraksi dalam musim terbaiknya, terutama dengan menjaringkan gol.

"Dia pemain yang hebat dan telah banyak berubah dengan menjaringkan lebih gol.

"Dia sudah biasa menghadapi khabar angin tentang perpindahan pemain, namun ia tidak akan mengubah dirinya.

"Dia menunjukkan perwatakan sebenar dan itulah yang diperlukan.

"Dia beraksi baik untuk pasukan ini dan menjaringkan banyak gol. Saya amat gembira," katanya.

Bagaimanapun, pemain yang mungkin meninggalkan Madrid adalah Gareth Bale, yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada sembilan minit terakhir perlawanan.

Namun, Zidane mempertahankan pemain kebangsaan Wales itu.

"Anda boleh bertanya setiap hari dan saya akan menjawabnya setiap hari.

"Dia merupakan pemain penting dalam skuad ini, saya tidak pasti berapa kali dia diturunkan sejak saya mengambil alih pasukan.

"Saya fikir dia beraksi dalam tiga daripada empat perlawanan, cuma hari ini saya mahu melakukan perubahan, itu sahaja," tambahnya.

Madrid kini di tangga ketiga LaLiga dengan empat mata di belakang Atletico Madrid.

Mereka akan berdepan Athletic Bilbao dalam aksi liga seterusnya, hujung minggu ini.

Advertisement

Must Watch Video