Skip to main content

Bola Sepak

Benitez enggan buat sebarang permintaan kepada Newcastle

5617benitez.jpg
Rafael Benitez menegaskan beliau enggan membuat sebarang tuntutan kepada Newcastle United di kala membuat persiapan bagi menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim hadapan.

Bekas pengendali Real Madrid itu membawa Newcastle kembali ke pentas terbaik dalam saingan bola sepak Inggeris dalam percubaan pertama dan masih berharap untuk menjulang gelaran Liga Kejuaraan, dengan Brighton & Hove Albion masih mendahului liga dengan kelebihan satu mata menjelang perlawanan terakhir musim ini pada Ahad.

Masa depan Benitez masih belum diketahui, bergantung kepada perbincangan terakhir bersama pemilik kelab, Mike Ashley – yang bakal menjawab segala persoalan serta menentukan masa depan pengendali dari Sepanyol itu.

Tetapi Benitez menegaskan beliau tidak akan membuat sebarang permintaan mengenai kewangan mahupun pemain-pemain walaupun terdapat laporan yang menyatakan bahawa beliau mahu mendapatkan bajet perpindahan sebanyak GBP70 juta.

"Kami menyediakan idea -- satu perancangan perniagaan -- tetapi saya tidak akan meminta wang.

"Apa yang saya jangkakan di dalam mesyuarat bersama Ashley adalah perbincangan mengenai idea saya, idea kelab, dan melihat di mana kedudukan kami," kata Benitez.

"Tetapi saya tidak akan membuat sebarang permintaan. Saya adalah pengurus yang terkenal dengan perkara sedemikian. Saya perlu mendengar cita-cita kelab ini dan dalam masa sama kami perlu bersifat realistik.

"Saya memiliki cita-cita yang sama untuk kelab ini. Saya berharap perbincangan ini akan berjalan lancar.

"Ia bukan sahaja mengenai masa depan saya, tetapi masa depan setiap individu di dalam kelab. Setiap pemain menantikan keputusannya. Tetapi spekulasi mengenai pemain-pemain dan wang adalah perkara yang tidak benar."

Newcastle, yang bakal berdepan Barnsley, berpeluang untuk memenangi saingan liga jika mereka mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik berbanding keputusan Brighton yang berdepan Aston Villa.

Advertisement

Must Watch Video