Skip to main content

Bola Sepak

Ben Yedder mahu pastikan Monaco kembali ke pentas Eropah

wissam-ben-yedder.jpg
Wissam Ben Yedder berazam mahu membantu Monaco melayakkan diri sekali lagi ke pentas Eropah selepas mengambil keputusan "sukar" meninggalkan Sevilla.

Penyerang kebangsaan Perancis itu menandatangani kontrak selama lima tahun menyertai kelab Ligue 1 itu minggu lalu sementara Rony Lopes berpindah ke Ramon Sanchez Pizjuan.

Selepas meledak 38 gol dalam tiga musim saingan LaLiga bersama Sevilla, bekas pemain Toulouse itu telah dikaitkan dengan juara Sepanyol, Barcelona, dan juga kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United sebelum ini.

Ben Yedder, bagaimanapun, mengambil keputusan kembali ke kancah bola sepak Perancis bersama Monaco -- dan dia tidak terkesan dengan kesukaran pasukan tersebut mengelak daripada penyingkiran dan menegaskan ia tidak akan lagi berulang. "Sukar untuk meninggalkan Seville," katanya. "Sepanyol telah memberikan banyak kenangan manis buat saya.

"Buat naib presiden, Oleg Petrov, kami telah banyak membincangkan mengenai projek untuk pasukan. Monaco mahu kembali ke puncak liga. Monaco adalah pilihan saya.

"Kami tidak tahu apa bakal berlaku jika saya kekal di Sepanyol. Terdapat beberapa kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya. Saya memilih Monaco dan saya berpuas hati.

"Ia merupakan kelab yang besar walaupun menghadapi tempoh yang sukar buat masa ini. Namun, sejak lima musim lalu, mereka telah mara ke suku akhir dan separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL).

"Kami akan pastikan musim lalu tidak akan berlaku lagi. Kami akan cuba sebaik mungkin untuk kembali ke pentas Eropah."

Ketibaan Ben Yedder di Stade Louis II dijangka akan menjadi jalan keluar buat Radamel Falcao yang kini dikaitkan dengan kelab Turki, Galatasaray.

Bagaimanapun, Petrov mahu Falcao kekal bersama pasukan sehingga kontraknya tamat.

"Falcao memberitahu kami dia mahu beraksi dalam UCL tetapi kami mahu dia terus bersama pasukan," kata Petrov. "Falcao seorang yang profesional dan dia harus menghormati kontraknya bersama kami."

Ben Yedder mengetuai jentera serangan Monaco dalam ketiadaan Falcao ketika berdepan Metz minggu lalu tetapi gagal untuk mengelak daripada pasukan tersebut mengalami kekalahan kedua berturut-turut musim ini.

Daripada menggantikan tempat penyerang kebangsaan Colombia itu, Ben Yedder berharap berpeluang untuk digandingkan bersama Falcao.

"Saya lebih gembira jika Falcao kekal bersama pasukan. Dia seorang pemain yang menakjubkan dan jika dia kekal bersama kami, Monaco berpeluang mencipta sesuatu musim ini.

"Banyak pengalaman telah saya raih beraksi dalam LaLiga dan perkara paling penting adalah terus meningkatkan lagi mutu permainan."

Monaco dilaporkan telah membayar EUR40 juta (RM185 juta) untuk mengaktifkan klausa perpindahan Ben Yedder.

Islam Slimani menjadi pemain terbaru kelab Perancis itu semalam, mengikut jejak langkah Gelson Martins, Benjamin Lecomte, Henry Onyekuru, Ruben Aguilar dan Ben Yedder.

Advertisement

Must Watch Video