Skip to main content

Bola Sepak

Bayern proaktif dalam misi buru pemain

rummenigge-240517_1.jpg
Bayern Munich sudah pun mempunyai sasaran perpindahan pemain musim depan, demikian umum Ketua Eksekutif, Karl-Heinz Rummenigge.

Juara Bundesliga yang baru dinobatkan itu selesai memuktamadkan perjanjian dengan tonggak antarabangsa Jerman, Sebastian Rudy dan Niklas Sule, daripada seteru Bundesliga yang menduduki kedudukan empat teratas, Hoffenheim.

Dengan Schalke memberi amaran kepada Bayern supaya menjauhi pemain tengah, Leon Goretzka, manakala Alexis Sanchez semakin kerap dikaitkan ke Allianz Arena, Rummenigge mendedahkan hasil perbincangan dengan jurulatih, Carlo Ancelotti, telah menghasilkan senarai pemain yang akan diburu.

"Kami telah membincangkan polisi perpindahan dengan Carlo serta ahli lembaga kelab, untuk itu kami telah mempunyai senarai sasaran pemain," kata Rummenigge.

"Musim depan, kami akan memiliki sebuah pasukan yang lebih hebat untuk mencabar kejuaraan.

"Kami perlu membuat keputusan. Aktiviti perpindahan bermula sekarang.

"Sule tampil baik dalam tempoh enam bulan lalu dan telah dipanggil menyertai skuad Jerman. Dia seorang pemain yang akan memberi sumbangan positif pada masa depan."

Walaupun meraih kejuaraan Bundesliga buat kelima berturut-turut, Bayern terkandas daripada kempen Liga Juara-Juara di peringkat suku akhir dan tidak layak ke perlawanan akhir Piala Jerman ekoran disingkirkan dalam pertembungan Klassiker dengan Borussia Dortmund dalam pusingan separuh akhir.

Bagaimanapun, Rummenigge menegaskan tahun pertama di bawah kendalian Ancelotti harus dinilai sebagai cemerlang kerana mereka meraih gelaran liga dengan jurang besar dengan pesaing terdekat, RB Leipzig.

"Ini merupakan musim yang baik," katanya. "Kami memenangi liga dengan perbezaan sebanyak 15 mata.

"Ini membuktikan bahawa dia melaksanakan tugas dengan baik sepanjang musim ini. Memenangi liga bukan sesuatu yang mudah, adalah keterlaluan untuk mengatakan ini bukan  musim yang baik."

 

Advertisement

Must Watch Video