Skip to main content

Bola Sepak

Bayern perlukan lebih pemain baru -- Lewandowski

robert-lewandowski-and-leroy-sane.jpg
Robert Lewandowski percaya Bayern Munich memerlukan dua lagi pemain di bahagian serangan meskipun mereka menandatangani Leroy Sane.

Juara Bundesliga itu mempunyai masa hingga 2 September depan untuk memperkuatkan pasukan selepas kehilangan Franck Ribery, Arjen Robben dan James Rodriguez, yang kembali ke Real Madrid selepas menamatkan tempoh pinjaman selama dua musim. 

Pemain muda, Jann-Fiete Arp, merupakan satu-satunya penyerang baru yang tiba di Allianz Arena sejak penghujung musim lalu.

Pemain sayap Manchester City, Sane, berkemungkinan akan menyertai senarai itu, namun Lewandowski menyarankan agar Bayern memberikan lebih tumpuan terhadap pasaran pemain.

"Saya fikir kami memerlukan tiga pemain baru," katanya kepada Sport Bild.

"Jika Sane datang sekalipun, kami memerlukan seorang lagi pemain sayap.

"Mungkin juga pemain nombor 6 dan pemain tengah menyerang.

"Kami hilang tiga pemain, iaitu Franck Ribery, Arjen Robben dan James, dan setakat ini, kami masih belum mengambil pemain baru," katanya.

Minggu lalu, pengendali Bayern, Nico Kovac, memohon maaf kepada rakan sejawatannya di City, Pep Guardiola, kerana meluahkan keyakinannya untuk menandatangani Sane kepada umum.

Pemain kebangsaan Jerman itu masih mempunyai baki kontrak hingga Jun 2021, namun juara Liga Perdana Inggeris itu berdepan kekecewaan untuk melanjutkan kontrak pemain berkenaan.

Bayern juga dikaitkan dengan pemain buangan Real Madrid, Gareth Bale, dan pemain sayap Ajax, Hakim Ziyech.

Advertisement

Must Watch Video