Skip to main content

Bola Sepak

Bayern nafi perlu buat bayaran tambahan aksi kompetitif Sanches

sanches-030517.jpg
Bayern Munich menafikan bahawa mereka perlu membayar EUR5 juta kepada Benfica sebagai bayaran tambahan di atas kemunculan kompetitif Renato Sanches.

Laporan di Portugal mendakwa  juara Bundesliga itu akan berhutang yuran tambahan apabila pemain tengah itu membuat penampilan ke-25, iaitu aksi yang seterusnya bersama kelab itu. 

Bayaran itu menyaksikan yuran perpindahan Sanches akan mencecah EUR40 juta, yang hampir menyamai rekod perpindahan ke atas Javi Martinez dari Athletic Bilbao pada 2012.

Namun, Bayern menegaskan ia adalah tuntutan palsu dan menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan mendedahkan apa-apa maklumat mengenai kontrak Sanches.

Media melaporkan FC Bayern Munich perlu membayar yuran tambahan sebanyak EUR5 juta kepada bekas kelabnya, Benfica, apabila Renato Sanches diturunkan dalam aksi kompetitif yang seterusnya, sebaliknya FC Bayern menjelaskan: "Ini adalah berita palsu.

"Tiada sebarang pembayaran akan dibuat terhadap penampilan Renato Sanches yang berikutnya.

"Selain itu, FC Bayern tidak akan mendedahkan sebarang maklumat mengenai kontraknya."

Pemain kebangsaan Portugal itu telah diikat Bayern pada tahun lalu dengan bayaran asal sebanyak EUR35 juta, walaupun harga keseluruhannya dilaporkan telah mencecah sebanyak EUR80 juta (termasuk gaji) selain bonus tertentu.

Timbalan Pengerusi Bayern, Jan-Christian Dreesen, dalam kenyataannya pada Mei lalu menyebut: "Yuran perpindahannya adalah EUR35 juta serta pembayaran bonus yang mungkin meningkat, contohnya andai pemain itu dinamakan dalam senarai Pasukan Terbaik Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)."

Pemain berusia 19 tahun itu bergelut untuk beraksi di bawah Carlo Ancelotti dalam musim pertama di Jerman dengan muncul sebanyak lima kali dalam Bundesliga.

Advertisement

Must Watch Video