Skip to main content

Bola Sepak

Barcelona berkembang dengan baik walaupun kalah -- Setien

barca.jpg
ATHLETIC BILBAO 1 BARCELONA 0

Ketua jurulatih Barcelona, Quique Setien, percaya kelabnya tetap melangkah ke depan walaupun tersingkir daripada Copa del Rey awal pagi tadi.


Jaringan Inaki Williams pada minit ke-93 mengecewakan naib juara musim lalu, Barca, 1-0 dalam aksi suku akhir itu.

Barca kini tewas dua perlawanan di tempat lawan berturut-turut di bawah kendalian Setien yang menggantikan Ernesto Valverde bulan lalu tetapi pengurus itu kekal yakin juara LaLiga itu berada di landasan terbaik.

"Bercakap mengenai apa yang berlaku kepada kami dalam aksi di luar laman sendiri, kami tetap berkembang dengan baik dalam aspek yang perlu diperbaiki," katanya.

"Ia tetap sama, ada hari anda berpeluang dan melaksanakannya dan sesetengah waktu anda gagal. Tiada penjelasan mengenainya.

"Saya tidak tahu apa yang perlu dipersalahkan. Jaringan lawan hadir daripada permainan terbuka yang tidak bahaya. Ia perkara yang tidak boleh dikawal dan ini salah satu daripadanya.

"Segalanya berjalan lancar kecuali keputusan. Saya gembira dengan usaha pasukan."

Setien menambah: "Kami mengawal babak kedua. Marc-Andre ter Stegen tidak berdepan ancaman dan adalah memalukan kerana kami mengawal permainan.

"Kami mencipta beberapa peluang terbuka dan mereka meraih gol ketika kami tidak berpeluang untuk melawan. Kami tampak bagus dan jelas menjadi pasukan yang lebih baik.

"Kami tidak menang tetapi ia akan hadir. Agak mengecewakan apabila kami tidak berpeluang untuk membalas dendam dalam saingan ini tetapi kami harus positif walaupun tersingkir."

Barca, yang kini ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu LaLiga, Real Madrid, akan berkunjung ke Real Betis, Ahad ini.




Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found