Skip to main content

Bola Sepak

Barcelona akan kembali cabar Liga Juara-Juara -- Ancelotti

carlo-ancelotti.jpg
Ketua jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti, menjangkakan Barcelona akan mencabar kejuaraan pertama Liga Juara-Juara Eropah sejak 2015 berikutan siri pemain baru yang ditandatanganinya musim ini.

Juara Eropah lima kali itu gagal meraih kejuaraan di peringkat benua berkenaan sejak beberapa musim lalu, termasuk ketika tewas secara luar biasa kepada Liverpool dalam separuh akhir musim 2018-19.

Ancelotti, yang pasukannya akan menentang Barca dalam perlawanan persahabatan di Florida awal pagi esok, berasakan skuad kendalian Ernesto Valverde itu sepatutnya terus menjadi pencabar musim ini susulan ketibaan bintang baru seperti Antoine Griezmann dan Frenkie de Jong.

"Saya percaya Barcelona sentiasa menjadi calon untuk menjuarai Liga Juara-Juara," katanya dalam sidang media.

"Mereka mempunyai pemain seperti (Lionel) Messi dan ramai lagi, jadi saya fikir mereka akan terus bersaing secara maksimum dalam Liga Juara-Juara.

"Saya fikir dengan kemasukan pemain seperti yang mereka lakukan, mereka akan menjadi amat kompetitif tahun ini," katanya.

Napoli juga mahu melupakan musim lalu, di mana mereka menamatkan Serie A di tempat kedua dan tersingkir seawal peringkat kumpulan dalam Liga Juara-Juara.

Ancelotti percaya LaLiga dan Liga Perdana Inggeris masih kejohanan terbaik di dunia, namun Serie A juga semakin meningkat.

"Buat masa ini, bola sepak di Itali berada sedikit di bawah berbanding LaLiga dan Liga Perdana, namun ia sedang meningkat.

"Tahun lalu, Cristiano (Ronaldo) tiba (di Juventus), di mana ia amat penting untuk liga kami.

"Saya fikir, bola sepak Itali akan mencapai tahap itu pada masa akan datang.

"Stadium sedang dibaik pulih dan saya rasa, sedikit demi sedikit, Itali akan menjadi lebih baik," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video