Skip to main content

Bola Sepak

Bale cergas untuk final Liga Juara-Juara

31517gareth-bale.jpg
Gareth Bale mengisytiharkan dirinya cergas sepenuhnya untuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara tetapi dia memahami jika bos Real Madrid, Zinedine Zidane, memilih untuk menggunakannya sebagai pemain gantian.

Penyerang itu tidak bermain sejak mengalami kecederaan betis ketika kekalahan dramatik di tangan Barcelona dalam aksi El-Clasico pada 23 April tetapi telah pulih tepat pada masanya untuk menghadapi Juventus di Cardiff, Ahad ini.

Pemain antarabangsa Wales, Bale, akan kembali ke tanah airnya untuk perlawanan akhir dan pemain berusia 27 tahun itu berkongsi bagaimana dia mendapatkan dorongan kecergasaan untuk aksi itu apabila Real berusaha menjadi pasukan pertama yang berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara selepas AC Milan pada 1989/90.

"Saya rasa sangat baik, saya pulih sepenuhnya dan saya bersedia," kata Bale kepada pemberita. "Saya telah melakukan pemulihan, gandakan sesi, semua kerja keras untuk cergas, untuk perlawanan ini dan saya perlu terus tingkatkan lagi.

"Saya lebih kecewa jika saya tidak dapat hadir ke perlawanan akhir dan sebab itu saya memberikan segala-galanya untuk mendapatkan semula prestasi tetapi saya tidak akan kecewa jika saya tidak berada dalam kesebelasan utama."

Tempat Bale dalam pasukan Real diambil oleh Isco dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan walaupun Zidane menegaskan Bale dan Isco boleh bermain bersama-sama, Real mungkin menurunkan salah seorang untuk digandingkan dengan Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo di bahagian serangan.

"Isco adalah pemain yang hebat dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dia bermain dengan baik," kata Bale. "Saya gembira untuk dia dan untuk usahanya membantu pasukan untuk pusingan akhir ini.

"Siapa sahaja yang bermula, kami akan membantu satu sama lain kerana perkara paling penting adalah pasukan dan memenangi perlawanan akhir kerana ia akan menjadi kejohanan menakjubkan.

"Berada dalam perlawanan akhir di bandar saya, di mana tempat saya dilahirkan, adalah satu perasaan luar biasa, tetapi ada satu lagi tugas untuk dilakukan iaitu memenangi Liga Juara-juara dan mencipta sejarah."

"Anda fikir tentang detik seperti ini tetapi anda tidak boleh berfikir terlalu jauh ke hadapan," tambah Bale. "Tetapi perkara paling penting adalah kami tidak berfikir terlalu jauh ke hadapan, kami mempunyai perlawanan yang sangat sukar dan penting di hadapan kami dan kami perlu melakukan segala yang mampu untuk memenanginya.

"Juventus kuat di belakan, tetapi pada masa sama, mereka adalah salah satu pasukan yang paling berbakat. Sukar untuk mengalahkan mereka tetapi kami perlu menumpukan perhatian kepada diri kami sendiri."

Advertisement

Must Watch Video