Skip to main content

Bola Sepak

Baddrol, Shahrul ada motivasi tersendiri

kapten-piala-fa.jpg
Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, mahu memadam 'memori duka' di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sembilan tahun lalu dengan memastikan Piala FA menjadi milik Lang Merah, sementara kapten Perak, Shahrul Saad, menjadikan kejayaan abangnya, Syamsul Saad, 15 tahun lalu sebagai motivasi terbaik untuk mendakap trofi  itu.

Pentas final Piala FA tidak asing buat Baddrol memandangkan pemain berusia 31 tahun itu sudah empat kali membuat penampilan di peringkat kemuncak kejohanan berkenaan.

Namun, daripada empat penampilannya dalam final, dia hanya pernah sekali gagal menjulang Kedah selaku juara, iaitu dalam edisi 2010.

Dia yang menjaringkan satu gol dalam perlawanan itu dikecewakan Negeri Sembilan dengan kekalahan 4-5 dalam penentuan sepakan penalti.

Sememangnya kegagalan itu masih segar dalam ingatannya, sekali gus enggan mimpi buruk itu berulang di venue sama, malam esok.

"2010 masih lagi diingati sebab kami hampir-hampir mendakap Piala FA tetapi dikecewakan dengan sepakan penalti.

"Ingatan itu masih kuat lagi.

"Saya mengharapkan pemain Kedah meletakkan fokus yang lebih tinggi dan bagilah apa yang ada pada malam itu dengan habis-habisan.

"Buat yang terbaik untuk final nanti," katanya.

Sementara itu, Shahrul hadir ke pentas final Piala FA berbekalkan inspirasi daripada kejayaan abangnya, Syamsul, yang meraih kejuaraan berkenaan pada 2004.

Ia merupakan kali terakhir Perak menjuarai saingan itu dengan menewaskan Terengganu 3-0 di Bukit Jalil.

"Saya dari kecil memang selalu bersembang dengan dia, bercakap tentang pencapaian yang dia ada.

"Jadi, itu jadi satu semangat untuk diri saya bagi mencabarnya.

"Mungkin saya boleh dapat lebih piala daripada dia.

"Itu kita tidak tahu tapi dia memang selalu memberikan semangat berdasarkan pengalaman yang dia ada.

"Insya-Allah, saya akan meneruskan apa yang telah dia lakukan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video