Skip to main content

Bola Sepak

Baddrol gembira lakar sejarah julang trofi kali keempat

baddrol-bakhtiar.jpg
Kejayaan memenangi Piala FA buat kali keempat merupakan detik istimewa buat kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, dalam karier bola sepaknya bersama skuad Lang Merah.

Bekas pemain kebangsaan itu yang pernah mendakap Piala FA sebanyak tiga kali bersama Kedah pada 2007, 2008 dan 2017, mengakui sangat gembira kerana dapat  memahat nama dalam sejarah bola sepak Kedah sejak menyertai pasukan utara itu pada 2005.

Kedah muncul juara Piala FA buat kali kelima selepas mengatasi Perak 1-0 dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Pemain gantian, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam, muncul wira skuad Lang Merah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-105, sekali gus memusnahkan harapan Perak untuk menjulang Piala FA yang kali terakhir dimenangi pada 2004.

"Saya memang bertekad memenangi Piala FA kerana ingin buat sejarah di negeri saya, iaitu "one man club" yang dapat meraih empat kali Piala FA dengan sebuah pasukan sahaja.

"Bagi saya, pengadil perlawanan ini, Takuto Okabe (dari Jepun) begitu pandai mengendalikan perlawanan dan sedikit-sebanyak pengadil kita boleh belajar daripada mereka," jelas Baddrol dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Untuk rekod, Kedah muncul juara Piala FA buat kali pertama pada 1996.

Kejayaan malam tadi menyaksikan Kedah menyamai rekod Selangor selaku pemenang terbanyak Piala FA dengan lima kejuaraan selain membolehkan skuad Lang Merah beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia AFC musim depan.

Berbeza pula dengan pandangan kapten Perak, Shahrul Mohd Saad, yang mahu melupakan episod duka kekalahan berkenaan dan mahu memberi fokus kepada saingan Piala Malaysia yang bermula minggu depan.

"Walaupun kami kalah, saya sangat berpuas hati dengan rakan sepasukan yang berjuang sehingga ke wisel penamat, cuma rezeki tidak memihak kepada Perak.

"Kami tidak akan berputus asa dan kami akan terus berusaha untuk Piala Malaysia," kata pertahanan skuad kebangsaan itu.

Ditanya mengenai persembahan Okabe yang mengadili final Piala FA kali ini, Shahrul secara peribadi lebih menyukai pengadil tempatan yang boleh mengutip pengalaman mengadili perlawanan yang dihadiri puluhan ribu penyokong pasukan terlibat.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video