Skip to main content

Bola Sepak

Azzmi: Menang dulu baru fikir suku akhir

azzmi-aziz.jpg
Penolong ketua jurulatih Kedah, Azzmi Aziz, menuntut pemainnya agar meneruskan momentum kemenangan dalam aksi terakhir Kumpulan C menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Ahad ini sebelum memimirkan tentang suku akhir Piala Malaysia.

Katanya, selepas menumpaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-1 di Alor Setar, pemainnya terus menunjukkan semangat yang tinggi dalam sesi latihan untuk melayan skuad kendalian Yusri Che Lah itu di Kota Bharu.

"Kami perlu terus fokus untuk melayan The Red Warriors (TRW) di gelanggang keramat mereka. Kedah tidak boleh lalai kerana Kelantan juga masih mempunyai peluang ke suku akhir.

"Prestasi pemain berada dalam keadaan terbaik selepas melakar kejutan mengalahkan JDT baru-baru ini," katanya.

Ditanya kesebelasan utama yang bakal diturunkan, Azzmi menjanjikan hanya pemain yang berada dalam prestasi terbaik bakal berada dalam kesebelasan utama skuad Lang Merah.

"Sudah pasti pemain terbaik akan membarisi kesebelasan utama Hijau Kuning kerana kami perlukan kemenangan.

"Tambahan pula, saya boleh menggunakan semula empat pemain yang beraksi dalam Sukan Asia baru-baru ini. Lebih penting, semua pemain bebas daripada kecederaan dan sedia untuk beraksi," katanya.

Azzmi juga enggan memikirkan peluang untuk menjuarai Kumpulan C, sebaliknya mahu anak buahnya memberi tumpuan penuh kepada pertemuan yang dijangka menarik ini.

"Saya belum memikirkan sejauh itu (aksi suku akhir), sebaliknya kami mahu fokus untuk menang dan layak. Mengenai bakal jumpa siapa, kami akan memikirkannya selepas ini.

"Lagipun, semua pasukan yang layak ke suku akhir memiliki kekuatan masing-masing. Kita tengok siapa lawan Kedah selepas ini," katanya.

Untuk rekod, Kedah menduduki tempat kedua Kumpulan C dengan lapan mata hasil dua kemenangan dan dua seri manakala TRW berada di tangga tercorot dengan lima mata.


 

Advertisement

Must Watch Video