Skip to main content

Bola Sepak

Azwan yakin TRW mampu ke suku akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

azwan.jpg
Pertahanan kiri Kelantan, Mohamad Azwan Aripin, yakin The Red Warriors (TRW) mampu menumpaskan Kedah dalam aksi terakhir kumpulan D, sekali gus layak ke suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini. 

Bagi Azwan, peluang Kelantan tetap ada biarpun terpaksa berdepan laluan berliku kerana perlu mengalahkan skuad Lang Merah itu dengan jaringan lebih besar di Stadium Sultan Muhammad IV, 16 September ini.

“Walaupun nampak tipis dan sukar, namun saya masih percaya peluang tetap ada buat Kelantan. Sudah tentu kita mahu menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri.

“Tambahan pula, rekod Kelantan dalam lima hingga enam perlawanan terakhir boleh dikatakan agak baik (ada menang dan kalah) dan atas faktor ini, saya optimis TRW  boleh ke suku akhir,” katanya.

Pertahanan kidal berusia 22 tahun itu juga memberitahu dia semakin bersemangat untuk membantu Kelantan setelah diturunkan sebagai pemain gantian ketika seri tanpa jaringan bertemu MISC-MIFA, baru-baru ini.  

Sebelum ini, dia tersisih akibat kecederaan ketika bertemu MISC-MIFA di Petaling Jaya dalam pusingan pertama sehingga menyebabkan terlepas dua perlawanan penting menentang Johor Darul Ta’zim (JDT). 

“Kecederaan lutut sudah pulih sepenuhnya dan saya harap jurulatih (Yusri Che Lah) dapat beri peluang kepada saya beraksi menentang Kedah, minggu depan."

Advertisement

Must Watch Video