PIALA FA
Azim optimis bawa Felda ke separuh akhir
Penyerang Felda United, Abdul Azim Rahim, optimis mampu memberikan cabaran lebih hebat dalam suku akhir kedua Piala FA di Jengka dengan membawa bekalan tiga gol selepas seri 3-3 di Stadium Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin.
Azim, yang menghadiahkan dua gol dalam aksi suku akhir pertama menentang Kuala Lumpur itu, meluahkan hasrat untuk menyekat lawan daripada membolosi gawang mereka di Jengka, 11 Mei ini.
Pemain berusia 21 tahun itu mahu membantu skuad The Fighters melangkah ke peringkat separuh akhir, sekali gus mengambil peluang tersebut untuk mengungguli Piala FA musim ini.
Iklan
Tambahnya, jadual yang padat sedikit menjejaskan prestasinya, apatah lagi Felda United terlebih dahulu bakal berhadapan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di tempat sendiri, Sabtu ini.
"Tidaklah terlalu berpuas hati tetapi kami meraih kemenangan dengan bekalan tiga gol di tempat lawan.
"Bagi aksi di Jengka selepas ini, kami tidak boleh memberikan sebarang gol kepada pihak lawan dalam memenuhi sasaran ke separuh akhir," katanya.
Meskipun tanpa ketua pasukan dan pemain sayap mereka, Hadin Azman, Azim percaya dengan perancangan pengendalinya, Nidzam Jamil, dalam misi meneruskan kemaraan lebih jauh dalam edisi kali ini.
"Kalau kami mengikuti taktikal yang diterapkan jurulatih, Insya-Allah kami mampu melakukannya," katanya lagi.
Must-Watch Video