EPL

Aston Villa pasang cita-cita besar

Stadium Astro
Shaiful Shamsudin
14/02/2025
01:49 MYT
Sponsor Banner
Aston Villa pasang cita-cita besar
Morgan Rogers percaya Aston Villa menyasarkan kelompok elit Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk tahun-tahun akan datang selepas merekrut Marcus Rashford dan Marco Asensio.
Rashford dan Asensio tiba secara pinjaman daripada Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG) sebelum jendela perpindahan pertengahan musim ditutup.
Kedua-dua pemain membuat penampilan sulung mereka dari bangku simpanan dalam kemenangan 2-1 Piala FA ke atas Tottenham Ahad lalu dan berkemungkinan akan diturunkan ketika menentang Ipswich Town esok.
Villa berada di tangga kelapan selepas kekalahan 'derby' kepada Wolves dua minggu lalu, namun Rogers percaya muka baru yang pernah bermain di bawah bimbingan Unai Emery boleh mencetuskan impak yang lebih besar.
“Apabila sebuah kelab mahukan anda, itu satu perkara tetapi jika pengurus mahukan anda, itu adalah perkara berbeza dan itu sahaja yang mereka pernah katakan kepada saya,” kata Rogers di laman sesawang kelab itu.
"Tiada yang lebih baik selain daripada perasaan diingini. Dari saat pertama lagi, dia bertindak keras terhadap saya. Ini kerana dia menuntut saya agar bertambah baik, kerana dia telah melihat sesuatu dalam diri saya dan mahu saya menyinar."
Rogers turut percaya pemain telah membuktikan masa depan di Villa Park cerah dengan berkata: "Kami mahu ke peringkat seterusnya sebagai sebuah kelab dan untuk mencapainya kami perlu bermain dalam perlawanan besar, memenangi perlawanan penting dan bersaing dalam perlawanan getir.
"Itu sahaja yang dibincangkan oleh pengurus; dia tidak mahu berpuas hati dengan apa yang telah kami lakukan.
"Dia tidak datang ke mari untuk mengulangi apa yang telah kami lakukan dalam dua tahun lalu dan kembali menjadi pasukan yang biasa-biasa."
Topic Berkaitan
Must-Watch Video