Skip to main content

Bola Sepak

Asensio selesai jalani pembedahan lutut

marco-asensio.jpg
Pemain tengah Real Madrid, Marco Asensio, selesai menjalani pemebedahan lutut kiri selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan lateral meniscus.

Pemain berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan berkenaan ketika menentang Arsenal dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) bulan lalu, di mana dimasukkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua sebelum Madrid meraih kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti di FedExField, Maryland.

"Pembedahan itu diketuai oleh Dr. Manel Leyes, di bawah seliaan pasukan perubatan Real Madrid," kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

"Asensio akan berada di hospital hingga dia benar-benar sihat.

"Selepas itu, program pemulihannya akan bermula."

Ketika Asensio sedang menjalani pembedahan awal pagi tadi, Madrid meneruskan persiapan menjelang kempen LaLiga dengan menewaskan Salzburg 1-0 dalam aksi persahabatan.

Eden Hazard menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan itu untuk membuka akaun jaringannya sejak tiba daripada Chelsea.

Madrid -- yang menamatkan liga musim lalu di tempat ketiga -- akan berdepan Roma hujung minggu ini sebelum membuka kempen 2019-20 dengan bertandang ke Celta Vigo, 17 Ogos ini.

Bercakap mengenai perlawanan itu, ketua jurulatih Madrid, Zinedine Zidane, berkata: "Saya amat lega. Kami memaparkan aksi yang baik, kerana itu kami hadir ke sini.

"Kami akan terus melakukan perkara-perkara hebat musim ini dan pada ketika ini, ia amat penting untuk meneruskan persiapan pramusim kerana masih terdapat satu perlawanan sebelum sepak mula LaLiga.

"Kami akan bersedia dan menjadi lebih baik setiap hari.

"Itulah yang telah dibuktikan dalam perlawanan hari ini.

"Saya menilai usaha sepasukan kerana ia tidak mudah dan amat penting untuk memaparkan aksi seperti ini ketika berdepan pasukan yang hebat.

"Mereka bukanlah pasukan kecil.

"Jika anda tidak fokus, mana-mana pasukan boleh menyukarkan hidup anda.

"Kami amat berdisiplin dan menunjukkan keamatan.

"Kami sedikit bergelut dalam babak kedua, namun kami gembira untuk memenangi perlawanan ini.

"Saya gembira kerana setiap jurulatih pasti mahukan semua pemainnya cergas.

"Masih ada satu perlawanan lagi sebelum LaLiga dan kami mahu berada dalam keadaan terbaik untuk bersaing.

"Jika kami bersaing dengan baik, kami akan mencapai perkara yang hebat," katanya.

Advertisement

Must Watch Video