Mikel Arteta mengagumi kualiti jentera serangan Manchester United menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Arsenal awal pagi esok.

Arsenal, yang tewas dalam dua aksi EPL sebelum ini, berkunjung ke Old Trafford bagi mendapatkan kemenangan di tempat lawan pertama ke atas United sejak 2006.


Arteta mengakui tahap prestasi dipamerkan Marcus Rashford, Anthony Martial dan Mason Greenwood di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer menjelang penghujung musim lalu.

United sejak itu telah membawa masuk penyerang Paris Saint-Germain, Edinson Cavani, dan menewaskan RB Leipzig 5-0 dalam saingan UCL, sementara Odion Ighalo merupakan seorang lagi pilihan penyerang.

"Mereka menjalin hubungan yang sangat baik dan semuanya sangat berbeza," kata Arteta.

"Mereka kelihatan selesa ketika beraksi, mempunyai pemahaman dan hubungan yang sangat baik di lapangan. Anda dapat melihatnya.

"Mereka boleh bermain dua atau tiga formasi yang berbeza -- mereka boleh bertukar beberapa formasi kerana lawan, kerana kualiti pemain yang mereka miliki dan kadang-kadang untuk mengubah permainan pada saat-saat tertentu.

"Kita harus bersedia untuk itu kerana mereka mempunyai kemampuan menyesuaikan diri. Mereka mempunyai skuad besar dan di depan mereka mempunyai banyak pilihan untuk melakukan perkara yang berbeza."

United telah memenangi lapan daripada 13 perlawanan liga rumah terakhir mereka ke atas The Gunners, seri lima kali tewas kali terakhir 14 tahun lalu.

Arteta berkata lagi, "Saya mahu percaya bahawa kita semakin hampir untuk mendapatkan kemenangan di sana.

"Sudah pasti tumpuan kami adalah ke sana dan menang. Itulah pendekatan yang akan kita usahakan dan permainan akan kami laksanakan."

Arsenal menewaskan United 2-0 di Stadium Emirates Januari lalu, jadi berpeluang Arteta menjadi pengurus kedua dalam sejarah kelab yang memenangi kedua-dua perlawanan pertama ke atas Red Devils, selepas Herbert Chapman pada 1925-26.

Dia akan mengharapkan penampilan yang lebih baik dari kaptennya, Pierre-Emerick Aubameyang, yang telah menjalani lima perlawanan liga tanpa gol buat pertama kali sejak November 2014, semasa dia bermain untuk Borussia Dortmund.