Skip to main content

Bola Sepak

Arsenal sah miliki Matt Turner daripada New England Revolution

matt-turner_1.jpg
Matt Turner akan menyertai Arsenal daripada New England Revolution selepas penantian sejak sekian lama itu disahkan malam tadi.

Penjaga gol Amerika Syarikat berusia 27 tahun itu akan menyertai Arsenal secara rasmi selepas melengkapkan ujian kesihatan.

Ia merupakan satu langkah besar dalam karier Turner, di mana pengurus Arsenal, Mikel Arteta, bersetuju untuk pasukannya mengeluarkan perbelanjaan yang dilaporkan bernilai £7.5 juta (RM42.64 juta) untuk mendatangkan penjaga gol terbaik tahunan Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) musim lalu itu.

Turner juga dilihat akan menjadi pencabar buat Aaron Ramsdale dalam perebutan tempat selaku penjaga gol utama.

Pemenang terdahulu anugerah itu adalah Brad Friedel, Tim Howard dan Zack Steffen, yang kesemuanya memilih untuk berpindah ke Liga Perdana Inggeris (EPL).
 
Kelab Amerika Syarikat itu berkata dalam satu kenyataan: "New England Revolution telah bersetuju dengan terma untuk penjaga gol, Matt Turner,menyertai Arsenal dalam EPL pada jendela perpindahan musim panas dengan yuran yang tidak didedahkan, bergantung kepada ujian kecergasan."

Turner akan kekal di Stadium Gillette buat masa ini dan dibenarkan untuk terus mewakili New England dalam Liga Juara-Juara CONCACAF dan peringkat awal MLS, yang akan bermula bulan ini.

Sebagai rekod, dia juga pernah mewakili Amerika Syarikat sebanyak 16 kali dan mendaftarkan 11 perlawanan tanpa bolos sepanjang tempoh itu.
 

Advertisement

Must Watch Video