Skip to main content

Bola Sepak

Arsenal mahu menang Liga Europa untuk Mkhitaryan, kata Mustafi

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mkhitaryan.jpg
Arsenal mahu menghadiahkan kemenangan Liga Europa kepada rakan sepasukan yang terpaksa diketepikan, Henrikh Mkhitaryan, kata Shkodran Mustafi.

Mkhitaryan memilih untuk tidak mengikuti rombongan ke Baku, Azerbaijian, bagi penentuan kejuaraan Liga Europa bertemu Chelsea, Khamis depan, berikutan kebimbangan mengenai keselamatannya ekoran ketegangan politik di antara Armenia dan tuan rumah, Azerbaijan.

Perancang tengah itu tidak menyertai rombongan ke Qarabag dalam aksi di peringkat kumpulan, Oktober lalu, dan sekali lagi memilih untuk mengambil langkah yang sama meskipun menerima jaminan keselamatan daripada duta besar United Kingdom di Azerbaijan.

Mustafi berharap The Gunners akan pulang dengan trofi Liga Europa sambil membuktikan kehilangan Mkhitaryan telah menyuntik motivasi mereka. 

"Ia sesuatu yang amat malang untuk tidak berada di sana, apatah lagi dia memainkan peranan besar dalam perjalanan kami ke final," beritahu Mustafi kepada Kicker.

"Sudah tentu, kami memikirkannya: kami juga mahu menang untuk Micki."

Mustafi, 27, dikaitkan dengan perpindahan sambil laporan mengatakan Arsenal berminat untuk mendapatkan pertahanan Roma, Kostas Manolas, atau pemain Barcelona, ​​Samuel Umtiti.

AC Milan dilabel sebagai destinasi berpotensi buat pemain Jerman tersebut, namun dia menegaskan akan kekal di Stadium Emirates.

"Saya tidak tahu di mana datangnya khabar angin itu. Ia melucukan, saya telah berada di sini hampir tiga tahun malah selepas setengah tahun di sini, saya dikaitkan dengan perpindahan," kata Mustafi.

"Saya adalah pemain Arsenal dan saya mempunyai kontrak sehingga 2021. Tiada berita lain lagi untuk diulas. Sekiranya ada, maka saya akan mengumumkannya dan tidak berselindung."
 

Advertisement

Must Watch Video