PIALA MALAYSIA
Annuar: Undur diri jika tidak mampu urus KAFA
Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, mencadangkan individu yang tidak mampu lagi mentadbir badan induk berkenaan supaya berundur segera demi menyelamatkan bola sepak negeri itu.
Annuar, dalam hantaran terbarunya melalui media sosial menjelaskan keputusan beliau mengundurkan diri sebelum ini adalah untuk memberi peluang kepada tokoh yang lebih berkemampuan mencari dana RM12 juta selain mengurus hutang persatuan itu.
“Saya undur diri untuk beri laluan kepada yang lebih mampu mencari dana dan tajaan RM12 juta serta mengurus tunggakan hutang. Jika tiada siapa yang mampu, elok berunding awal dan beri kepada yang mampu secara muafakat.
Iklan
“Yang penting, bola sepak Kelantan mesti kembali cemerlang. Saya yakin kita boleh,” katanya.
Meskipun tidak menyatakan mana-mana individu secara khusus, hantaran beliau itu jelas bermaksud kepada Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan.
Dalam entri itu juga, Annuar mengingatkan The Red Warriors (TRW) yang sudah tersingkir ke Liga Perdana musim depan agar segera melakukan persiapan bermula daripada sekarang bagi mengharungi musim yang lebih mencabar.
“Saya meramalkan TRW kekal dalam Liga Super sekiranya nasib menyebelahi kita.
“Perlu tiga hingga empat bintang tempatan dibawa masuk dan lima import berkualiti. Dengan izin Allah, TRW akan meletup kembali,” tambahnya.
Untuk rekod, Annuar mula menerajui KAFA pada tahun 2008 sebelum membuat keputusan melepaskan jawatan berkenaan pada 8 November 2016 setelah Kelantan dihimpit masalah kewangan yang serius sehingga hampir menarik diri daripada Liga Malaysia.
Sepanjang lebih 10 tahun pentadbiran Annuar, TRW muncul sebagai gergasi baru bola sepak negara dengan menjulang pelbagai kejuaraan, termasuk meraih tiga trofi pada 2013.
Must-Watch Video