Skip to main content

Bola Sepak

Andrieiev yakin mula langkah kanan

fullsizerender.jpg
Bek tengah Terengganu FC (TFC), Serhii Andrieiev, yakin dapat memulakan aksi sulungnya dalam Piala Malaysia dengan kemenangan ke atas PKNS FC, malam ini.

Biarpun mengakui masih samar-samar dengan kekuatan PKNS FC, pemain kelahiran Ukraine itu bertekad untuk memperagakan aksi terbaik di depan penyokong sendiri.

Andrieiev, 29, juga bersedia menyahut cabaran serta tekanan lebih tinggi selepas hanya menyertai TFC daripada TFC II dalam penghujung saingan liga yang lalu.

"Tidak banyak maklumat yang saya tahu mengenai pasukan lawan (PKNS FC), cuma melalui jurulatih dan mereka ada penjaring terbanyak (Kpah Sherman).

"Namun, saya tetap yakin kami mampu menang di tempat sendiri dengan menyerang dan bertahan sebagai satu unit," katanya.

Pemain tinggi lampai itu memberikan impak segera dengan jaringan gol dalam penampilan pertama ketika seri 3-3 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin, 19 Julai lalu.

Andrieiev kini menyifatkan keserasian bersama rakan sepasukannya semakin meningkat, malah yakin percaturan jurulatih, Mohd Nafuzi Zain, akan membuahkan hasil.

"Perlawanan (JDT) yang sukar kerana saya tidak begitu kenal pasukan sendiri.

"Tapi kami sudah berlatih lebih dua minggu, jadi persefahaman sudah berjaya dibentuk," jelas Andrieiev.

Advertisement

Must Watch Video