Skip to main content

Bola Sepak

Ancelotti sahkan Napoli cuba dapatkan Pepe

nicolas-pepe_g2ytdxr9qogz1sbrgyjdvvh7q-(1).jpg
Carlo Ancelotti mengesahkan Napoli sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan penggempur Lille, Nicolas Pepe.

Pemain Ivory Coast itu menyumbat 22 gol dalam saingan Ligue 1 musim lalu sehingga muncul antara pemain paling mencuri perhatian di Eropah.

Juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), turut dikaitkan dengan Pepe selain pemenang Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool.

Dan Napoli turut bersaing mendapatkan khidmatnya selepas wakil pemain itu tiba di Itali untuk berbincang mengenai masa depan pemain berusia 24 tahun itu.

"Jika ejennya di sini, jelas sekali kami berminat," ujar Ancelotti.

"Perbincangan dijalankan, apa sahaja boleh berlaku."

Dalam masa sama, perjanjian mendapatkan James Rodriguez tampak masih jauh daripada penyelesaian tetapi Ancelotti yakin Napoli bakal mendapatkan pemain yang pernah dikendalikannya sewaktu di Real Madrid dan Bayern Munich itu.

"Sama ada yakin atau tidak, dia merupakan antara pemain yang kami berminat," tambah pengendali dari Itali itu.

"Lihat nanti apa berlaku. Terdapat keinginan untuk Madrid menjualnya dan kami mendapatkannya."

Napoli turut dikaitkan dengan Mauro Icardi, penyerang yang telah diberitahu tiada dalam perancangan skuad Inter Milan.

Icardi diliht cenderung untuk menyertai juara Serie A, Juventus, tetapi Ancelotti menegaskan Arkadiusz Milik tidak akan meninggalkan Napoli sekiranya penggempur Argentina itu menyertai The Partenopei.

"Tiada seorangpun pemain kami yang berada dalam pasaran," tambah pengurus itu.

"Semua pemain berada di sini kerana kami mahu mengekalkan mereka. Sudah tentu jika ada yang mahukan cabaran baru, kami akan mendengar."

Advertisement

Must Watch Video