Skip to main content

Bola Sepak

Ancelotti didenda FA susulan kad merah menentang United

carloancelotti-cropped_1lrpbjzxzsbh41fsufdl00e6tz.jpg
Carlo Ancelotti telah didenda Persekutuan Bolasepak (FA) atas kelakuan buruk sehingga menyebabkannya dilayangkan kad merah ketika Everton meraih keputusan seri menentang Manchester United, awal pagi semalam.

Pengendali The Toffees itu dilihat membantah keputusan pengadil, Chris Kavanagh, selepas aksi di Goodison Park berakhir seri 1-1 sehingga menyebabkannya menerima layangan kad merah.

Ancelotti berang dengan keputusan membatalkan jaringan lewat Dominic Calvert-Lewin selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan Gylfi Sigurdsson yang terbaring di depan penjaga gol United, David de Gea, berada dalam posisi ofsaid.

Bekas pengurus Chelsea, Ancelotti, dilaporkan bakal terlepas penggantungan dari tepi padang jika dia menerima denda itu dan memiliki tempoh sehingga esok untuk berikan maklum balas.

"Carlo Ancelotti telah didenda akibat daripada kelakuan buruk sehingga melanggar Undang-Undang E3 FA. Jelas sekali tindakan pengurus Everton itu ketika aksi Liga Perdana Inggeris berdepan Manchester United, 1 Mac lalu, merupakan sesuatu yang tidak sopan," kata wakil FA.

"Dia memiliki tempoh sehingga 5 Mac ini untuk memberikan maklum balas."

Sewaktu ditemui selepas perlawanan itu, Ancelotti menegaskan dia tetap menghormati Kavanagh.

"Saya meminta penjelasan selepas tamat perlawanan. Terdapat salah faham di atas padang dan saya diperintah keluar padang," katanya.

"Selepas bercakap dengannya secara tenang di dalam bilik persalinan, saya mahu rahsiakan perbualan kami dan kini, dia akan kemukakan laporan kepada FA dan lihat nanti.

"Hormat saya terhadapnya tidak hilang tetapi saya faham, disebabkan pengadil, wujud banyak keputusan penting di akhir perlawanan. Namun, saya tetap hormatinya.

"Ia keputusan yang sukar kerana mereka melihat kedudukan Sigurdsson yang dalam posisi ofsaid tetapi bagi pendapat saya, ia tidak mengganggu penglihatan penjaga gol. Namun, mereka berpendapat sebaliknya."

Advertisement

Must Watch Video