Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Alto wira Tambadau di Likas

img_8988.jpg
SABAH 1 NEGERI SEMBILAN 0

Sabah terus membuktikan betapa mereka adalah pencabar utama kejuaraan Liga Perdana musim ini apabila menundukkan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.


Jaringan tunggal Alto Linus pada minit ke-65 sudah cukup bagi memastikan Sabah mendaki ke kedudukan kedua liga dengan 28 mata, hanya satu mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim II (JDT II).

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi pantas, namun bola hanya tertumpu di tengah padang dan tiada serangan yang betul-betul bahaya dihasilkan.

Skuad Tambadau hanya tiga kali mencemaskan pintu gol pelawat, namun gagal disudahkan dengan baik, dua menerusi Rodoljub Paunovic yang gagal menyempurnakan hantaran Alto manakala tandukan pemain itu pula hasil hantaran Mohd Azzizan Nordin terus ke dakapan penjaga gol lawan.

Pasukan pelawat pula hanya melakukan satu percubaan ke arah pintu gol Sabah menerusi Muhammad Ferris Danial Mat Nasir, namun ia liar di atas palang gol.

Penghujung aksi separuh masa pertama juga menyaksikan lebih 1,500 penyokong yang hadir terhibur seketika apabila seekor kucing tiba-tiba memasuki padang dan berlari-lari selama beberapa saat.

Bermula babak kedua, Negeri Sembilan lebih dulu mencemaskan pintu gol Sabah, namun, cubaan Igor Carneiro Luiz selepas melepasi kawalan Rawilson Batuil pada minit ke-49 hanya sedikit tersasar di sebelah kiri tiang gol.

Sabah kemudian memiliki peluang baik pada minit ke-63 menerusi Paunovic, namun, penjaga gol lawan lebih pantas mendapatkan bola dalam keadaan satu lawan satu di luar kotak penalti.

Gol yang dicari Sabah akhirnya muncul pada minit ke-65 apabila Alto melakukan penyudah selepas satu keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Jaringan itu mendapat bantahan daripada pemain dan barisan jurulatih pelawat apabila mendakwa salah seorang pemain Sabah telah pun ofsaid, namun pengadil tetap memberikannya.

Pada minit ke-72, Negeri Sembilan hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan Abdul Halim Zainal, namun, ia berjaya ditampan keluar oleh Rozaimie Rohim.

Di saat-saat akhir perlawanan, Sabah melepaskan peluang untuk memperoleh gol kedua apabila percubaan Ahmet Atayev sekadar melepasi palang gol lawan.

Keputusan lain:

SELANGOR UNITED 1 PULAU PINANG 3

UKM 2 PDRM 3

Advertisement

Must Watch Video