Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Alli tidak gentar ujian Colombia

alli.jpg
Dele Alli menegaskan bahawa England tidak gentar dengan sesiapapun dalam Piala Dunia 2018 serta berazam menyerlahkan reputasi besar di Russia.

Anak buah Gareth Southgate iyu akan menghadapi Colombia dalam pusingan 16 di Moscow, Selasa ini, dengan Switzerland atau Sweden menanti dalam suku akhir. 

Ia memberi skuad The Three Lions itu kesempatan untuk memenangi perlawanan kalah mati dalam kejohanan utama buat julung kalinya sejak 2006 yang pada ketika itu menyaksikan wakil Amerika Selatan, Ecuador, ditumbangkan 1-0 hasil sepakan percuma David Beckham.

Suasana tenang terus menyelubungi kem England meskipun membuat rombakan besar dalam kekalahan 0-1 kepada Belgium dalam perlawanan terakhir Kumpulan G di sebalik prestasi terumbang-ambing pemain tengah Tottenham tersebut. 

Kecederaan paha yang ditanggungnya semasa kemenangan 2-1 ke atas Tunisia memaksa pemain berusia 22 tahun itu direhatkan tetapi dia sama-sekali tidak menyesali keputusan menempuhi aksi dalam kesakitan.

"Saya gembira (Southgate) membiarkan saya meneruskan permainan. Saya mengalami kecederaan yang sama ketika (Spurs) menentang Real Madrid dan saya merakamkan dua gol," kata Alli, mengimbas kemenangan 3-1 mendebarkan Spurs ke atas juara Eropah itu di Wembley pada November lalu. "Saya gembira kerana saya tidak dikeluarkan."

Alli sinonim dengan jaringan dalam perlawanan penting semasa memperkuatkan Spurs. 

Dia melakar dua gol ketika bertemu Chelsea di White Hart Lane pada Januari 2017 dan mencetak dua gol musim ini ketika Tottenham menang di Stamford Bridge buat kali pertama sejak 1990.

"Ramai orang mengatakan demikian tetapi saya mahu melakukannya dalam setiap perlawanan," kata pemain tengah itu. 

"Pasukan berbeza menawarkan cabaran berlainan dalam permainan. Dalam Liga Perdana, apabila anda menentang sebuah pasukan besar, ia berbeza ketika bertemu pasukan bawahan. 

"Terdapat lebih ruang menentang pasukan besar kerana mereka sentiasa melancarkan asakan. Naik lebih tinggi untuk memenangi bola, situasi itu meninggalkan sedikit ruang di antara bahagian tengah dan pertahanan.

"Di situlah saya suka beraksi, saya mahu menjaringkan gol ke atas semua pasukan," katanya.

Biarpun Colombia dirundung kecederaan bintang mereka, James Rodriguez, namun mereka masih mantap dengan kehadiran tonggak seperti Radamel Falcao, Juan Cuadrado dan Juan Fernando Quintero yang dijangka memainkan peranan besar dalam pertembungan yang dinanti-nantikan Alli -- dia mengharapkan England bertemu lawan yang setanding. 

"Saya fikir Piala Dunia adalah tahap tertinggi," katanya. "Pasukan dan pemain terbaik disatukan dan berentap sesama sendiri.

"Begitupun, bagi saya dan sebagai sebuah pasukan, kami tidak takut dengan sesiapapun, kami tidak akan bersembunyi."

Pusingan kalah mati turut membawa kepada England igauan badi penentuan penalti.

Menyorot kembali rentetan sehingga Piala Dunia 1990, mereka telah tewas enam daripada tujuh drama penentuan sepakan penalti dalam pusingan akhir kejohanan utama.

"Anda perlu mencuba dan mengawal setiap situasi. Anda perlu menguasainya," tambah Alli, sebelum menyatakan bahawa dia gembira untuk mengambil tanggungjawab dalam tendangan dari jarak 12 meter itu. 

"Saya mahu membantu pasukan. Saya yakin dengan diri sendiri dan apa yang diharapkan.

"Saya perlu bekerja keras dalam penalti dan kami telah berusaha untuk menguasainya, bukannya membiarkannya terus menghantui kami. Kami telah mengubah cara kami berfikir."

Advertisement

Must Watch Video