Skip to main content

Bola Sepak

Alli pastikan kemenangan sulung Spurs

tottenham.jpg
NEWCASTLE UNITED 1 TOTTENHAM 2

Dele Alli membantu Tottenham Hotspur memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan apabila menundukkan Newcastle United 2-1 di St James' Park, sebentar tadi. 


Alli mempamerkan kemampuannya merebut bola di udara yang membantu England menempah tempat ke separuh akhir Piala Dunia Russia bulan laluapabila dia mempamerkan kelincahan untuk mengatasi Martin Dubravka dalam separuh masa pertama.

Jaringan itu merumuskan permulaan rancak perlawananyang menyaksikan Joselu meledak gol pada minit ke-11 untuk membatalkan jaringan pembukaan Jan Vertonghen setelah Sistem Teknologi Atas Garisan Gol mendapati usahanya telah melepasi garisan. 

Spurs yang dibimbing Mauricio Pochettino bergelut untuk menyerlahkan aksi terbaik -- kepenatan mungkin menjadi faktor setelah lima anak buahnya terbabit dalam kesebelasan utama aksi separuh akhir Piala Dunia -- dengan Mohamed Diame serta muka baru, Salomon Rondon, dinafikan oleh tiang dan palang ketika Newcastle berusaha memburu gol penyamaan dalam babak kedua.

Tatkala tumpuan terarah kepada Harry Kane untuk mengakhiri badi ketandusan jaringan pada Ogos yang kini berlanjutan kepada 14 perlawanan liga, gandingan pertahanan tengah sebaliknya memberikan Tottenham kelebihan untuk membuka tirai gol.

Davinson Sanchez menanduk nipis hantaran silang Christian Eriksen sebelum disambut oleh Vertonghen biarpun Dubravka sudah cuba sehabis baik untuk menghalangnya. 

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, benteng Spurs berdepan detik yang mahu dilupakan apabila Joselu mengatasi Sanchez untuk menyudahkan umpanan hebat Matt Ritchie dari sebelah kanan.

Gol ketiga perlawanan menerusi tandukan dalam tempoh 18 minit terhasil apabila hantaran Serge Aurier dari sayap kanan menemui Alli di penjuru gawang lawan. 

Skuad kendalian Rafael Benitez itu hampir mengikat kedudukan pada minit ke-48.

Diame diberikan ruang di dalam petak penalti untuk melepaskan rembatan kaki kiri sementara Alli sepatutnya memanfaatkan peluang yang dicipta Eriksen. 

Sentuhan tidak menjadi Kenedy pada minit ke-51 membolehkan Hugo Lloris mengekalkan pendahuluan Spurs sebelum lawannya yang turut bertugas di depan gawang, Dubravka, tangkas menafikan percubaan bekas pemain Newcastle, Moussa Sissoko.

Beberapa aksi kurang bermaya ketika bertahan dalam situasi bola mati hampir memerangkap Spurs dengan Ayoze Perez hampir mengatasi Lloris sambil memaksa Vertonghen mematahkan serangan yang dijana pemain gantian, Rondon.


 

Advertisement

Must Watch Video