Skip to main content

Bola Sepak

Allegri jangka Madrid berkembang maju tanpa Ronaldo

madrid_1.jpg
REAL MADRID 3 JUVENTUS 1

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, sedar Real Madrid akan sentiasa kompetitif meskipun berpisah dengan Cristiano Ronaldo.


Bintang Portugal itu meninggalkan Santiago Bernabeu untuk menyertai juara bertahan Serie A itu bulan lalu dengan bayaran £100 juta (RM530.7j) walaupun akan mencecah usia 34 tahun musim ini.

Ronaldo, yang masih berehat susulan penglibatannya dalam Piala Dunia 2018, diketepikan ketika Madrid membelasah Juve 3-1 dalam kempen Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Maryland, sebentar tadi. 

Sehubungan itu, pengurus Bianconeri, Allegri, tahu gergasi Sepanyol itu akan tetap ampuh bagi musim 2019 biarpun melepaskan ayam tambatan mereka itu. 

"Real Madrid merupakan pasukan yang hebat," katanya dalam sidang berita selepas perlawanan itu. 

"Kami gembira kerana mempunyai Cristiano, khususnya di peringkat antarabangsa dan pengalaman yang dibawanya.

"Namun, Real Madrid akan selalu menjadi kelab kompetitif, dengan atau tanpa Cristiano.

"Adalah menyeronokkan untuk menjadi jurulatih kepada Cristiano Ronaldo. Sudah tentu dia adalah salah seorang pemain handalan dunia di samping Lionel Messi dan saya teruja dapat melatih pemain sepertinya."

Juve menikmati jendela perpindahan yang produktif dengan membawa semula Leonardo Bonucci dari AC Milan dan menandatangani Joao Cancelo, Emre Can dan Mattia Perin selain penghijrahan Ronaldo.

Tambah Allegri, tiada lagi ketibaan baru yang diharapkan di Turin sebelum jendela perpindahan ditutup.

"Usaha sudah dilakukan kelab," katanya.

"Pada ketika ini, saya percaya kami sangat berdaya saing dan saya tidak sabar lagi untuk menempuhi musim ini dengan apa yang ada pada saya."

Ditanya mengenai peluang Mehdi Benatia dalam kesebelasan utama berikutan kepulangan Bonucci, Allegri berkata: "Kami mempunyai lima pertahanan di tahap tinggi dan kami akan mengharungi musim yang sangat sibuk, jadi kami memerlukan mereka semua."

Advertisement

Must Watch Video