Skip to main content

Bola Sepak

Alba tetap setia di Nou Camp biarpun hadapi saingan rebut tempat

alba-050517.jpg
Jordi Alba menegaskan dia akan kekal di Barcelona di sebalik khabar angin yang mengaitkan kelab itu dengan perpindahan tonggak pertahanan Atletico Madrid, Theo Hernandez.

Hernandez, 19, mempamerkan aksi mengagumkan ketika dipinjamkan ke Deportivo Alaves musim ini sehingga menimbulkan spekulasi yang mengaitkannya dengan Liverpool, Real Madrid dan Barca.

Sungguhpun berpotensi berdepan saingan lebih sengit musim depan, Alba masih mempunyai kontrak di Camp Nou sehingga Jun 2020 dan tidak berniat untuk menyerahkan tempatnya dalam pasukan utama tanpa memberikan saingan.

"Jika kelab mahu saya untuk kekal, saya akan melakukannya, saya mahu kekal di Barcelona," katanya dalam satu majlis Adidas, semalam.

"Saya gembira dengan peluang bermain pada musim ini, saya berasa begitu bangga beraksi di tempat sendiri," kata pemain Catalan berusia 28 tahun itu, yang digilap oleh akademi Barca tetapi perlu membuktikan dirinya di Valencia sebelum kembali ke kelab zaman kanak-kanaknya.

"Anda boleh mendengar berita tentang Theo Hernandez dan nama-nama lain pada minggu yang berikutnya, namun saya bangga dengan berada di sini."

Barca akan berada di bawah kepimpinan baru musim depan, berikutan Luis Enrique telah mengumumkan hasratnya untuk meletak jawatan pada akhir kempen ini. 

Sebaliknya, Alba, yang kurang mendapat peluang beraksi kerana penggunaan sistem tiga pemain pertahanan musim ini, mendakwa dia tidak gusar siapa yang akan mewarisi jawatan jurulatih itu. 

"Tidak kira apa yang saya fikirkan tentang jurulatih akan datang, sebagai pemain kami tidak membuat keputusan, keputusan itu terletak kepada presiden, pengurus dan ahli lembaga pengarah," katanya.

"Saya lebih suka bermain dengan empat pemain pertahanan."

Alba juga bersiap sedia menghadapi pengakhiran dramatik dalam kancah domestik musim ini. Barca berada di puncak dengan berbaki tiga perlawanan lagi, berkongsi mata dengan Madrid, yang mempunyai kelebihan baki satu perlawanan berbanding juara bertahan itu.

"Gelaran LaLiga tidak akan dapat diputuskan sehingga perlawanan terakhir musim ini," kata Alba lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video