Skip to main content

Bola Sepak

Aksi terbaik dituntut daripada pemain Perak

perak.jpg
Aksi menakjubkan ketika menundukkan Pahang dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA dituntut daripada pemain Perak apabila turun melayani juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta'zim (JDT), di Stadium Perak, malam esok.

Pengurus Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berharap pemain mampu menyerlahkan keajaiban yang menyaksikan Perak menang 3-0 untuk mara ke final trofi kalah mati itu dengan agregat 4-3.

"Ia persembahan terbaik kami. Saya berharap ia mampu diulangi ketika bertemu pasukan terbaik dalam Liga Malaysia itu.

"Saya rasa tidak ada salahnya jika kami menanam impian untuk muncul pasukan pertama memadam rekod tanpa kalah JDT musim ini," katanya.

Begitupun, Adly Shah berkata tumpuan utama Perak ialah terhadap perlawanan akhir Piala FA, 27 Julai ini dan bukannya perlawanan liga.

"Kami mahu rangkul Piala FA untuk menambah  koleksi gelaran selepas menjuarai Piala Malaysia 2018.

"Semuga impian ini menjadi kenyataan, " tambahnya.

Bagaimanapun pengurus Perak itu sedar ia tidak semudah diungkapkan kerana JDT bukan calang-calang pasukan.

"Mereka yang terbaik. Itu hakikatnya. Jadi, pemain Perak perlu menggandakan usaha jika ingin berjaya," katanya.

Advertisement

Must Watch Video