Skip to main content

Bola Sepak

Aksi seperti ini akan membawa kejayaan -- Wander Luiz

wander-luiz.jpg
Pemain tengah Perak, Wander Luiz Junior, menjadi pemusnah hajat PKNS FC di Stadium Shah Alam selepas meledak dua jaringan pentingnya membantu The Bos Gaurus ke separuh akhir Piala Malaysia melalui kemenangan agregat 2-0, malam tadi. 

Tanpa sebarang jaringan oleh kedua-dua pasukan di Ipoh dalam aksi pertama, peluang PKNS dan Perak masih seimbang untuk menempah pertemuan separuh akhir dengan Sabah.

Bagaimanapun, Perak lebih bertenaga dengan menguasai permainan sejak awal dengan rangkaian Gilmar Da Silva dan Luiz acap kali menggempur kubu tuan rumah.

Kesilapan Zarif Irfan yang gagal menampan kemas rembatan Luiz pada minit ke-23 membuka ruang kepada Perak memperoleh gol pendahuluan penting di tempat lawan.

Hajat Jafri Firdaus Chew mencari gol penyamaan buat pasukannya pada minit ke-49 tidak kesampaian selepas dinafikan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim.

Kira-kira 2,000 penyokong Perak terus bersorak apabila hantaran lintang Firdaus Saiyadi disudahkan melalui tandukan kencang Luiz pada minit ke-57.

Derita PKNS bertambah apabila terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain pada minit ke-79 berikutan kad merah ke atas Jafri kerana mengasari Leandro.

"Kami bermula lembab, saya turut terkejut kami gagal menampilkan intensiti dan tempo yang diharapkan. 

"Lebih-lebih lagi setelah kami bermain berjuang habis-habisan di tempat lawan.

"Kami tidak mengambil inisiatif awal, tidak bermain baik dalam separuh masa pertama sehingga Perak mendapatkan gol," kata ketua jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal

Luiz pula berkata: "Kejayaan ini bukan sahaja penting buat saya, malah kepada pasukan. 

"Sekiranya kami terus mempamerkan aksi sebegini, kami boleh pergi jauh.

"Perjuangan kami belum berakhir, masih ada tugas lebih besar yang perlu dilakukan. 

"Kami perlu memasang impian besar untuk mencapai kejayaan."

 

Advertisement

Must Watch Video