Bekas pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak, tidak menolak peluang untuk kembali ke kancah Liga Malaysia (Liga-M).
Begitupun, masa depannya masih belum diputuskan lagi memandangkan dia sedang mempertimbangkan tawaran lanjutan kontrak bersama Persikabo.
"Saya perlu bersikap adil dengan Persikabo yang masih inginkan khidmat saya.
"Ini minggu terakhir saya perlu berikan jawapan. Saya perlu muktamadkan keputusan hala tuju yang terbaik buat diri sendiri dalam masa sehari dua ini.
"Sejujurnya ia satu pengalaman yang manis kerana peminat di sana sangat semangat.
"Mereka sangat sayangkan kelab.
"Dalam perlawanan terakhir, protes berlaku dan kejadian yang pernah meragut nyawa di stadium sebelum ini hampir berulang.
"Mujur ia dapat dikawal," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Sepanjang karier Liga-M, Aidil Sharin hanya berkelana di Alor Setar di mana dia membimbing skuad Hijau Kuning muncl naib juara Liga Super untuk dua musim berturut-turut.
Kejayaan paling tidak dilupakan ialah ketika menjulang Piala FA pada musim pertama di bawah kendaliannya selain hampir mencatat kejuaraan berganda tapi terpaksa akur selaku finalis Piala Malaysia.
"Tiada sebarang wakil Terengganu yang menghubungi saya tapi ejen memaklumkan bahawa mereka ada menyatakan minat.
"Saya ada tawaran konkrit daripada sebuah lagi kelab Pantai Timur yang meminta saya mengambil alih pasukan.
"Memang benar ada urusan yang belum selesai dalam Liga-M.
"Saya pernah mengharungi tiga musim yang baik di Malaysia, biar rekod yang membuktikannya.
"Saya masih merindui dengan suasana Malaysia atas faktor berdekatan dengan Singapura, masyarakat dan peminatnya.
"Malah, hubungan sesama jurulatih juga rapat," katanya lagi.
Shaiful Shamsudin
Thu May 04 2023