Skip to main content

Bola Sepak

Aguero optimis cergas hadapi Tottenham

aguero.jpg
Sergio Aguero "semakin pulih" dan sempat cergas sempena pertemuan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) di antara Manchester City dan Tottenham, kata Pep Guardiola.

Penjaring terbanyak City itu diketepikan sejak kemenangan 2-0 di Fulham untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sembilan hari lalu, yang menyaksikan dia menemui sasaran dalam babak pertama sebelum dikeluarkan berikutan mengadu masalah otot sebelum sejam permainan. 

Pelapisnya, Gabriel Jesus, yang dimasukkan sebagai pemain gantian, melakukan tandukan terbang untuk jaringan pertama yang memberikan skuad kendalian Pep Guardiola itu kemenangan 1-0 ke atas Brighton & Hove Albion dalam separuh akhir Piala FA di Wembley, hujung minggu lalu. 

Sentuhan pemain Brazil itu kembali ditagih dalam pertemuan di Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi Khamis ini, meskipun Aguero turut mengikuti latihan bersama-sama rakan sepasukannya di Valley berikutan langkah City untuk kekal di London sebagai sebahagian daripada persediaan mereka.

Guardiola memberitahu sidang berita pra-perlawanan: "Dia semakin pulih, dia sudah mula menjalani latihan bersama skuad utama dan berasa bertambah baik."

Aguero, 30, sudah menyumbat 29 gol musim ini selain memiliki rekod mengagumkan bertemu Spurs dengan 10 gol dalam 13 pertembungan. 

Jumlah itu termasuk ketika dia melakar keempat-empat gol dalam kemenangan 4-1 ke atas seteru mereka itu di Stadium Etihad, Oktober 2014 lalu, namun dia gagal menemui sentuhan pemusnah dalam enam penampilan terakhirnya ketika bertemu barisan bimbingan Mauricio Pochettino itu.

Antara kebimbangan utama Guardiola mengenai kecergasan skuadnya timbul selepas bekas tonggak Tottenham, Kyle Walker, terpaksa digantikan selepas rehat ketika berdepan Brighton akibat kecederaan belakang.

Benjamin Mendy, yang diturunkan buat kali pertama sejak menjalani pembedahan lutut November lalu, dipertaruhkan dalam aksi separuh akhir Piala FA dan mungkin akan mengekalkan peranannya memandangkan Oleksandr Zinchenko (hamstring) masih diketepikan.

Guardiola menambah: "Saya berasakan keadaan Kyle bertambah baik -- kami akan lihat keadaannya selepas ini -- dan proses pemulihan Benjamin juga berjalan lancar. 

"Doktor tidak memberitahu saya perkara yang sebaliknya dan saya fikir mereka mungkin boleh diturunkan."

 

Advertisement

Must Watch Video