Skip to main content

Bola Sepak

Aguero kekal di Etihad

220517-aguero.jpg
Pep Guardiola mengesahkan penyerang utama, Sergio Aguero, akan kekal bersama Manchester City pada musim depan sejurus selepas The Citizens menewaskan Watford 5-0 dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris musim ini.

Untuk musim 2016-17, Aguero berjaya menjaringkan 33 gol dalam semua kejohanan -- rekod terbaiknya sejak menyertai City pada 2001 -- sekaligus membantu skuad kendalian Guardiola meraih tempat ketiga liga dan memastikan tiket automatik ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Ketibaan penyerang muda Brazil, Gabriel Jesus, pada Januari menyaksikan Aguero banyak diletakkan di bangku simpanan, namun kedua-duanya beraksi begitu baik ketika digandingkan dalam pertemuan menentang Watford.

Persoalan mengenai masa depan Aguero dan ketua pasukan, Vincent Kompany, sering menjadi tumpuan media pada musim ini, terutama selepas kegagalan Guardiola memenangi sebarang kejuaraan dalam musim pertamanya di Etihad.

"Mereka adalah pemain City dan akan kekal di sini pada musim depan," katanya.

"Kami menamatkan liga dengan 15 mata di belakang juara, Chelsea. jadi kami perlu bermain lebih baik dan Sergio banyak membantu kami," jelas Guardiola.

Kompany membuka tirai jaringan ketika perlawanan di Vicarage Road, membuktikan dia masih mampu menjadi pilihan utama Guardiola selepas bergelut dengan masalah kecederaan hampir sepanjang musim.

Kekalahan 2-1 di tangan Chelsea ketika Kompany kembali dalam kesebelasan utama pada April membuktikan pemain kebangsaan Belgium itu masih relevan buat skuad The Citizens, sebelum menjaringkan tiga gol dalam deretan lapan perlawanan tanpa kalah.

"Kami sangat gembira apabila Kompany dapat beraksi dalam lapan perlawanan, bermain 90 minit dan dia jelas seorang pemain yang istimewa," kata Guardiola.

Advertisement

Must Watch Video