Kelantan bernasib baik diberikan lebih masa untuk mendaftarkan pasukan menyertai Liga A1 selepas tempoh pendaftaran pemain dilanjutkan sehingga 24 Mei ini.
Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berkata, ia susulan tujuh pasukan daripada Liga A1 dan juga Kelantan meminta penangguhan tempoh pendaftaran pemain yang sepatutnya berakhir pada Selasa lalu.
"Sebelum ini kita dah maklumkan mengenai pendaftaran pemain untuk Liga A1 pada asalnya 14 Mei kepada semua pasukan dan Kelantan pada 15 Mei.
"Tetapi ketika ini, kita juga ada dapat permohonan daripada beberapa pasukan lain untuk meminta satu lagi penangguhan berikutan berdepan beberapa masalah daripada segi sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain import.
"Justeru, selepas mengambil kira situasi dan permohonan daripada lapan pasukan Liga A1 termasuk Kelantan, kita membuat keputusan untuk memanjangkan tempoh pendaftaran ini sehingga 24 Mei," katanya.
Sebelum ini, Kelantan disingkirkan daripada saingan Liga Super selepas gagal memperoleh Lesen Kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Januari lepas.
Ia menyebabkan skuad The Red Warriors memohon menyertai Liga A1, namun perlu menyelesaikan tunggakan gaji selain bebas sekatan perpindahan FIFA sebelum diterima bersaing dalam liga amatur itu.
Dalam pada itu, Mohd Raimi berkata, pihaknya sudah menjangkakan ada pasukan yang meminta penangguhan selepas AFL memperkenalkan beberapa kriteria tambahan musim ini.
"Kalau ikutkan sememangnya pada musim ini ada sedikit pembaharuan berbanding tahun lalu kerana musim ini kita membenarkan pengambilan pemain import selain penambahan beberapa kriteria untuk meningkatkan kualiti pertandingan.
"Sebab itu, ketika kita menetapkan tarikh asal pun, kita dapat jangkakan ada pasukan memerlukan lebih masa. Kalau ikutkan lanjutan masa yang diberikan ini tidak akan memberikan kesan besar kerana 24 Mei lebih kurang seminggu daripada sepak mula," katanya.-Sinar
Stadium Astro
Wed May 15 2024