Skip to main content

Bola Sepak

AFF B-15: Malaysia ke final selepas pamer kebangkitan

mas-b-15.jpg
Malaysia mara ke pentas final Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 15 Tahun (B-15) selepas menewaskan juara tiga kali, Vietnam, 3-1 dalam aksi separuh akhir di Chonburi, Thailand, hari ini.

Dalam aksi di Stadium Institut Pendidikan Jasmani itu, skuad kendalian ketua jurulatih, P. Maniam, itu bangkit daripada ketinggalan 0-1 hasil jaringan Pham Van Phong pada minit kesembilan sebelum menampilkan permainan berkualiti untuk mencetak tiga gol.

Episod kebangkitan Malaysia bermula pada minit ke-14 hasil jaringan penyerang, Muhammad Nabil Qayyum, sebelum pemain muda itu meletakkan skuad negara mendahului 2-1 selepas meledak gol kedua peribadi pada minit ke-49.

Muhammad Aliff Izwan melengkapkan kemenangan 3-1 negara pada minit ke-78, sekali gus mencerahkan peluang Malaysia merangkul kejuaraan buat kali kedua.

“Kredit seharusnya diberikan kepada pemain kerana mereka memberikan 200 peratus dalam perlawanan ini untuk merealisasikan misi pasukan mara ke final.

"Walaupun kami dibolosi awal, pemain menunjukkan disiplin tinggi untuk bangkit dan mengawal permainan, terutama pada separuh masa kedua.

“Saya berharap momentum dan semangat ini dapat dikekalkan dalam aksi final nanti,” kata Maniam selepas tamat perlawanan.

Menanti skuad negara dalam final Jumaat ini adalah Thailand yang mengatasi Indonesia 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini.

Sebagai rekod, Malaysia muncul juara pada 2013 di Myanmar selepas mengalahkan Indonesia 3-2 dalam final menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 selepas masa penuh perlawanan.

Kredit foto: FaMalaysiaOfficial

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video