Skip to main content

Bola Sepak

AFF B-15: Malaysia dinobat juara benam Thailand

mas-b15.jpg
THAILAND 1 MALAYSIA 2

Skuad B-15 Malaysia bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengalahkan juara tiga kali, Thailand,  2-1 bagi menjuarai Kejohanan AFF B-15 2019 di Stadium IPE Chonburi, Thailand, sebentar tadi.


Kemenangan itu menyaksikan anak buah P.  Maniam itu mengulangi kejayaan 2013 di mana Malaysia memenangi kejohanan itu buat kali pertama dengan mengalahkan Indonesia 3-2 dalam final menerusi penentuan penalti susulan terikat 1-1 selepas masa penuh perlawanan.

Thailand membuka jaringan pada minit ke-16 melalui Theekawin Chansri sebelum Malaysia bangkit dan menjaringkan dua gol dalam separuh masa kedua melalui Muhammad Izrin Ibrahim (m-69) dan Muhammad Nabil Qayyum (m-79), menurut laman Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Untuk rekod, Malaysia mendahului Kumpulan B sebelum mengalahkan pasukan tempat kedua Kumpulan A, Vietnam, 3-1 dalam perlawanan separuh akhir Rabu lalu.

Pasukan itu memulakan kempen mereka dengan membelasah Brunei Darussalam 8-0, Kemboja 2-0, Australia 3-0, sebelum seri 1-1 dengan Laos dan pasukan tuan rumah itu.

Skuad tersebut yang kebanyakannya pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Kuantan, Pahang akan pulang ke Malaysia esok.

-- BERNAMA
 

Advertisement

Must Watch Video