Menjelang perebutan tempat naib juara Liga Super musim ini, Selangor menjadi pasukan pilihan, menurut ketua jurulatih Kedah Darul Aman, Nafuzi Zain.

Nafuzi bagaimanapun memberikan jaminan anak buahnya tidak akan memberikan laluan mudah buat juara Liga Super sebanyak dua kali itu, dalam misi meraih slot ke pentas Asia musim depan.

Jelas pengendali berusia 54 tahun itu, kelebihan memihak Gergasi Merah memandangkan mereka kini mendahului dua mata tatkala berbaki dua perlawanan liga.

Nafuzi turut beranggapan skuad kendalian Tan Cheng Hoe sebagai sebuah pasukan lengkap dengan kelibat beberapa pemain kebangsaan seperti Brendan Gan dan Faisal Halim serta barisan import berkualiti.

Beliau turut mengesahkan, bakal menurunkan kesebelasan utama terbaik Sang Kenari memandangkan tiada pemain berdepan penggantungan kad serta tiada isu kecederaan serius.

Ini rupanya saingan terakhir bagi Selangor dan Kedah dalam perebutan gelaran naib juara Liga Super 2023.

Kemenangan untuk Selangor ke atas Kedah akan mengesahkan slot The Red Giants di kejohanan peringkat AFC musim depan.

Keputusan seri bakal mengekalkan 'status quo' sehingga minggu terakhir perlawanan, di mana Selangor yang mempunyai 55 mata perlu melayan kunjungan PDRM pada 17 Disember.

Manakala Kedah perlu bertemu Sabah pada hari sama.

Kemenangan buat Kedah ke atas Selangor pada Sabtu pula akan memberi kelebihan satu mata kepada mereka menuju ke minggu terakhir.

Ikuti siaran langsung perlawanan ini di Astro Arena Bola saluran 803 dan live streaming menerusi aplikasi Astro Go atau ikuti secara percuma melalui aplikasi Sooka bermula dengan pra-rancangan pada jam 8.00 malam.

Muat turun aplikasi Sooka melalui App Store atau Google Play sekarang!