Skip to main content

Bola Sepak

Adly janji selesaikan isu gaji tertunggak Melaka

adly-melaka-united.jpg
Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Adly Zahari, berjanji akan cuba menyelesaikan isu gaji tertunggak pemain pasukan Melaka United dalam masa sebulan.

Beliau berkata pihak pengurusan telah melakukan perbincangan dengan pemain dan juga jurulatih bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Kami akan sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan pemain dan saya yakin bahawa perkara ini akan dapat diselesaikan dalam masa sebulan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Tahunan MUSA kali ke-63, hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Media sebelum ini melaporkan MUSA gagal membayar gaji pemainnya selama dua bulan pada bulan Jun dan Julai disebabkan oleh masalah kewangan yang melanda persatuan tersebut.

Adly yang juga Ketua Menteri Melaka turut mengakui bahawa MUSA mengalami masalah penerimaan tajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) setelah berlaku pertukaran kerajaan negeri.

 "Kami yakin bahawa perkara ini tidak akan mengganggu prestasi pasukan Melaka United,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata persatuan sukan tidak seharusnya terus ditadbir urus oleh pemimpin politik.

 “Bagi mengubah kelaziman ini, satu mekanisme perlu dicari bagi membolehkan pemimpin sukan mentadbir urus sesebuah persatuan sukan dengan lebih baik lagi,” katanya.

Adly berkata buat masa ini beliau menerima jawatan presiden MUSA disebabkan oleh masalah kesukaran mendapatkan penajaan dan beliau mengambil tanggung jawab itu untuk membantu pasukan Melaka.

Jawatan presiden dan timbalan presiden MUSA tidak dipertanding dalam Kongres MUSA ke-63 yang kini masing-masing disandang oleh Adly dan Yusoff.

Tiga muka baharu dipilih sebagai naib presiden dalam pemilihan hari ini, iaitu Harun Mohamad, Mohd Ashiq Abd Samad dan Yong Yoon Pin manakala Datuk Fadzli A. Bakar terus mempertahankan jawatan tersebut untuk penggal ini.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video