Skip to main content

Bola Sepak

Ada masalah di Manchester United, kata Sheringham

teddy-sheringham.jpg
Bekas penyerang Manchester United, Teddy Sheringham, mengkritik arah tuju The Red Devils selepas tewas mudah 1-4 kepada Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi semalam.

United kini menduduki tangga kelima EPL dan berdepan tamparan besar dalam misi mereka memburu slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Mereka gagal mendaftarkan sebarang percubaan ke gawang lawan dalam babak kedua perlawanan itu dan hanya memiliki lapan peratus penguasaan sepanjang 15 minit terakhir perlawanan menentang pasukan jiran bimbingan Pep Guardiola berkenaan.

Laporan lewat sebelum perlawanan itu memaklumkan bahawa Cristiano Ronaldo tidak akan terlibat dengan aksi 'derby' berkenaan, di mana pengurus interim, Ralf Rangnick, kemudian mengesahkan bahawa bintang Portugal berkenaan mengalami kecederaan pinggul.

Sheringham mewakili United sekitar 1997 hingga 2001 dan memainkan peranan penting sewaktu mereka menewaskan Bayern Munich dalam final UCL 1999.

Bercakap dalam rancangan Monday Night Football di saluran Sky Sport, Sheringham meluahkan kegusarannya mengenai kurangnya hala tuju di Old Trafford ketika ini.

"Saya pernah berada dalam kedua-dua situasi itu. Ia membuatkan anda putus harapan apabila pasukan seperti itu terus mendominasi anda.

"Apabila anda berada dalam satu pasukan yang kesemuanya menuju ke haluan yang sama, ia akan menjadi hebat.

"Apabila anda bermain untuk seorang pengurus yang ramai akan fikirkan 'dia tidak akan bersama kami selepas penghujung musim ini, saya tidak perlu memberikan yang terbaik. Dia akan pergi. Saya akan berusaha untuk pengurus yang seterusnya', itulah aura yang dapat dilihat di segenap padang. Ramai pemain tertanya-tanya. 'Adakah dia cedera? Adakah dia tidak cedera?'.



"Itulah masalah kelab ini dan saya fikir ia disebabkan oleh masalah kepimpinan sesuatu kelab bola sepak.

"Anda lihat Manchester City, mereka dipimpin oleh seorang lelaki terkemuka yang mengabdikan dirinya untuk menjadikan Manchester City lebih baik. Yang terbaik mereka boleh lakukan.

"Apabila anda melihat Manchester United, mereka melantik pengurus interim (Ole Gunnar Solskjaer), kemudian mereka memecatnya. Mereka kemudian melantik seorang lagi pengurus interim, apa yang sedang berlaku di kelab bola sepak terbaik ini? Apa yang sedang berlaku?

"Itulah penyebabnya. Apabila anda melantik seseorang yang akan kekal lama dengan keinginan untuk menjadikan mereka lebih baik, ramai akan bersama anda.

"Tetapi apabila anda tidak melakukannya, amat sukar untuk semua orang mengikut anda kerana akan ada perubahan sekali lagi pada penghujung musim dan kesemuanya perlu bermula sekali lagi dengan idea baru daripada pengurus yang berbeza," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video