ACLE

ACLE: JDT elak kekalahan di Buriram

Stadium Astro
Muzaffar Musa
04/03/2025
15:57 MYT
Sponsor Banner
ACLE: JDT elak kekalahan di Buriram
BURIRAM UNITED 0 JOHOR DARUL TA'ZIM 0
Wakil negara, Johor Darul Ta'zim (JDT), kelihatan bergelut dengan permukaan padang licin ketika terikat tanpa jaringan dengan kelab Thailand, Buriram United, dalam perlawanan pertama pusingan 16, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Chang Arena sebentar tadi.
15 minit pertama menyaksikan beberapa pemain JDT kerap tergelincir sewaktu melakukan gerakan, antaranya Arif Aiman Hanapi dan ketua pasukan, Natxo Insa.
Peluang terbaik Harimau Selatan hadir pada minit ke-20 menerusi sepakan percuma Jonathan Viera yang ditangkap kemas penjaga gol, Neil Etheridge.
Seminit berselang, Buriram turut memperoleh peluang terbaik dengan siri percubaan ke gawang JDT tetapi berakhir dengan rembatan tersasar Goran Causic.
Buriram datang lagi pada minit ke-25 dan kali ini, percubaan voli Guilherme Bissoli sedikit melewati palang gol.
JDT melakukan dua pertukaran selepas separuh masa dengan Jorge Obregon dan Samu Castillejo masuk menggantikan Bergson da Silva dan Murilo.
Bagaimanapun, tuan rumah terlebih dahulu memperoleh peluang keemasan, di mana tandukan Suphanat Mueanta diselamatkan penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre.
JDT memperoleh sepakan penjuru pertama mereka pada minit ke-76 yang diambil baik Castillejo tetapi tandukan Eddy Israfilov tidak cukup kekuatan untuk menerjah gawang lawan.
Buriram datang dengan pelbagai serangan ke kawasan JDT menuju ke penghujung saingan tetapi tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan.
Kedua-dua pasukan itu akan kembali bertemu bagi aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa depan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video