Skip to main content

Bola Sepak

ACL ranapkan impian awal musim Clyne

clyne.jpg
Nathaniel Clyne akan tersisih dalam jangka masa panjang selepas dilanda kecederaan lutut (ACL) dalam perlawanan persahabatan Liverpool dengan Borussia Dortmund, Sabtu lalu. 

Clyne tercedera dalam aksi di Stadium Notre Dame itu, sekali gus terlepas rombongan ke New York.

Pertahanan itu, yang menghabiskan separuh kedua musim lalu dipinjamkan ke Bournemouth, kini kembali ke Melwood untuk memulakan program pemulihannya.

Tiada tarikh tepat mengenai kepulangannya ditetapkan walaupun kakitangan perubatan Liverpool berharap pemulihan itu akan menjadi proses mudah buat pemain berusia 28 tahun itu.

"Apa yang boleh saya katakan mengenai nasib malang yang menimpa Clyney? Dia berlatih dan beraksi dengan baik -- dia sedang dalam keadaan yang cemerlang," kata pengurus itu kepada laman sesawang rasmi Liverpool.

"Jelas sekali kecederaan semulajadi ini bukanlah saat-saat bahagia buat mana-mana pemain sekalipun, tetapi itulah takdir baginya dan menurut pakar perubatan, ia sememangnya kecederaan ACL. 

"Ini bermakna dia hanya akan kembali beraksi seandainya proses pemulihannya bebas daripada sebarang kesulitan dan komplikasi.

"Buat masa ini, tidak banyak yang boleh diperkatakan dan kami semua akan menyokong Clyney dalam apa jua cara dan kami berharap dapat melihatnya kembali ke padang secepat mungkin."

Advertisement

Must Watch Video