Skip to main content

Bola Sepak

ACL: JDT kejutkan juara bertahan

jdt.jpg
Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya mampu mengharapkan keajaiban untuk mara ke pusingan 16 apabila mengejutkan juara bertahan, Kashima Antlers, 1-0 dalam perlawanan Kumpulan E, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Penyerang, Muhammad Syafiq Ahmad, muncul wira pasukan tangga tercorot itu apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-68, sekali gus melakar kemenangan pertama skuad Harimau Selatan itu selepas mengharungi empat perlawanan peringkat kumpulan. 

Bagaimanapun, peluang JDT ke pusingan seterusnya tampak sukar selepas wakil China, Shandong Luneng FC, mengalahkan Gyeongnam FC dari Korea Selatan 2-1.

JDT perlu berdepan dengan kelab dari Korea itu dalam aksi terakhir kumpulan di gelanggang lawan 22 Mei ini manakala Kashima Antlers perlu mengutip mata penuh ke atas Shandong Luneng FC jika berhasrat melangkah ke pusingan 16 terbaik.

Dalam perlawanan itu, JDT memulakan rentak dengan penuh bersemangat apabila melancarkan serangan ke kubu kelab Jepun itu, namun ketumpulan penyudah menafikan JDT sebarang jaringan sehingga separuh masa.

Sebaliknya, barisan depan Kashima Antlers turut mensia-sia peluang, seolah-olah hilang arah apabila mahu membolosi benteng pertahanan JDT.

Dalam babak kedua, anak buah Go Oiwa yang tertekan itu terus melakukan asakan, namun percubaan demi percubaan dipatahkan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan.

Bagaimanapun, gol tunggal hadir apabila Muhammad Syafiq menerima umpanan dari tengah lalu melepasi kawalan dua pemain pertahanan Kashima Antlers sebelum melepaskan rembatan lencong yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Kwoun Suntae.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video